PM umum dana RM500,000 untuk Majlis Belia Malaysia gerakkan program, aktiviti persatuan belia | DagangNews Skip to main content

PM umum dana RM500,000 untuk Majlis Belia Malaysia gerakkan program, aktiviti persatuan belia

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbual dengan hadirin pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-71 Majlis Belia Malaysia di Subang Jaya di sini pada 7 Mac 2022.

PETALING JAYA 7 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan dana RM500,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menggerakkan program dan aktiviti persatuan belia di seluruh negara.

 

Beliau berkata, pertubuhan belia menjadi pengantara orang muda dengan kerajaan yang mengiktiraf MBM sebagai badan induk pertubuhan belia yang amat besar peranannya dalam membantu kerajaan membangunkan belia Keluarga Malaysia di seluruh negara.

 

''Saya yakin MBM yang mewakili suara anak-anak muda, sememangnya dekat dan peka kepada kehendak belia untuk bergerak bersama Kerajaan ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,'' katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-71 Majlis Belia Malaysia di Subang Jaya di sini malam ini.

 

Perdana Menteri berkata, keahlian pertubuhan belia yang kini kira-kira 1.2 juta, mewakili hanya 8% daripada keseluruhan populasi belia negara, sewajarnya ditambah menerusi aktiviti-aktiviti yang diminati golongan itu selain mempelbagaikan pendekatan bagi mempertingkatkan penglibatan mereka ke dalam organisasi belia.

 

Menurutnya, penglibatan mereka dalam aktiviti seumpama ini dapat menggalakkan pembudayaan aktiviti yang lebih sihat seperti penyertaan NGO belia dalam menghulur bantuan kepada mangsa bencana banjir di Kedah, Lembah Klang, Johor dan yang terbaharu, di Pantai Timur Semenanjung.

 

Katanya, program khidmat komuniti dan pasca bencana seperti Rakan Muda Day Out & Rakan Muda Prihatin amat memerlukan tenaga sukarelawan muda untuk berkhidmat dengan masyarakat.

 

''Saya percaya bukanlah penghargaan yang dikejar oleh mereka namun pada malam ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh sukarelawan belia, anda semua adalah wira-wira belia negara,'' kata Ismail Sabri.

 

Perdana Menteri juga yakin MBM dan badan gabungannya mampu membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi sosial menerusi program-program dan aktiviti-aktiviti pembangunan untuk kesejahteraan belia dan seluruh Keluarga Malaysia bagi tahun 2022.

 

Dengan kreativiti dan pendekatan “Dari Belia Untuk Belia”, pastinya pelbagai aktiviti yang menepati jiwa anak muda dapat dilaksanakan.


 

PM

 


Sambutan Hari Belia Negara (HBN) bagi menghargai golongan belia, misalnya, adalah “signature” program tahunan yang diteruskan walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

 

''Bagi mengembalikan kemeriahan sambutan HBN tahun ini, saya mengharapkan agar ia tidak sahaja dilaksanakan di peringkat kebangsaan tetapi juga ke seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat sehingga ke akar umbi.

 

''Begitu juga dengan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) yang menjadi pengisian utama HBN setiap tahun. Bermula tahun ini, saya berhasrat agar pihak KBS dan agensi kerajaan lain dapat menganjurkan majlis penyampaian anugerah ini supaya ia menjadi majlis yang amat berprestij dan diingati oleh golongan belia negara,'' ujarnya.

 

Perdana Menteri berkata, memandangkan anak-anak muda mempunyai pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang, kategori anugerah juga wajar dipelbagaikan dan ditambah untuk disesuaikan dengan Model Baharu Pembangunan Belia.

 

Model tersebut adalah:
i. Ikon Karismatik (Kepimpinan);
ii. Ikon Kelestarian Alam (Alam Sekitar);
iii. Ikon Reka Tekno (Inovasi & Teknologi);
iv. Ikon Youth - Biz (Keusahawanan);
v. Ikon Sanjungan Budi (Pembangunan Masyarakat);
vi. Ikon Belia Cekal (Belia OKU); dan 
vii.Ikon Influencer Karakteristik (Belia Berpengaruh).

 

''Saya berharap majlis penganjuran Anugerah Perdana Belia Negara ini dapat turut disertai oleh sektor korporat sebagai rakan strategik,'' kata Ismail Sabri. - DagangNews.com