KUALA LUMPUR 11 April – Kebenaran pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sahaja akan membebankan pencarum pada masa hadapan, malah akan memberi kesan kepada ekonomi negara melalui penurunan modal pelaburan yang diperlukan bagi memastikan ekonomi negara kekal mampan, kata penganalisis ekonomi, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.
Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia menjelaskan jumlah tabungan yang tinggi membantu negara menjana sejumlah modal pelaburan yang diguna pakai untuk membangunkan ekonomi negara dan terdapat perbezaan diantara pertumbuhan negara yang tinggi jumlah tabungan berbanding negara yang rendah tabungannya.
"Sebagai contoh Korea dan Jepun, kedua-dua negara ini adalah contoh negara yang mempunyai kadar tabungan rakyat yang tinggi dan dari segi analisis firma bila saiz aset semakin berkurang, ia memberi kesan kepada firma untuk menjana pelaburan atau peluang tersebut lebih terhad.
"Hipotesisnya, bila "saiz" firma mengecil secara relatif keuntungan pun akan berkurang," kata beliau kepada DagangNews hari ini.
Memandang dari sisi pencarum, Muhammad Ridhuan berkata, kelulusan pengeluaran KWSP diberikan ketika negara berhadapan dengan kesan ekonomi akibat COVID-19, bagaimanapun, sekiranya aktiviti pengeluaran diteruskan, ia umpama "gali lubang tutup lubang" kerana pencarum yang telah berumur 50 tahun dan ke atas diberi kebenaran untuk mengeluarkan simpanan KWSP.
Pengeluaran wang KWSP akan menjejaskan simpanan pencarum pada masa hadapan dan menimbulkan persoalan di mana pencarum akan mencari wang untuk menampung kehidupan selepas itu.
"Pengeluaran awal pencarum menyebabkan simpanan mereka tidak cukup untuk bekalan selepas pencen dan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan purata umur atau jangka hayat rakyat Malaysia melebihi 70 tahun dengan perbelanjaan keperluan lebih kurang RM1,000 sebulan.
"Pada masa yang sama data KWSP menunjukkan 6.7 juta atau 51 peratus daripada pencarum di bawah umur 55 tahun mempunyai baki simpanan di bawah RM10,000," jelas beliau.
Oleh itu, langkah memperkenalkan Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) KWSP, di mana pihak bank boleh memberi faedah antara empat peratus hingga lima peratus adalah dianggap sesuai memandangkan purata pulangan caruman KWSP sekarang di dalam lingkungan empat peratus hingga 5.5 peratus.
"Pencarum yang terdesak masih boleh lagi memohon pinjaman daripada bank komersial dan menjadikan simpanan KWSP sebagai cagaran,” jelas beliau.
Namun begitu, Muhammad Ridhuan menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk beberapa agensi berganding bahu bagi memberi kesedaran celik kewangan dan pengumpulan kekayaan (pelaburan) walaupun sedikit.
"KWSP sendiri adalah pilihan terbaik untuk pencarum menyimpan atau menabung," ujar beliau. – DagangNews.com