Politik untuk bina negara bangsa, bukan percaturan peribadi | DagangNews Skip to main content

Politik untuk bina negara bangsa, bukan percaturan peribadi

PADANG TERAP 24 Okt - Politik masa kini tidak sewajarnya berkisar mengenai percaturan politik Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.

 

Sebaliknya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, politik hari ini adalah untuk membawa agenda lebih besar iaitu pembinaan negara dan bukannya hanya berkaitan rencana politik dua individu tersebut.

 

"Saya tak fikir naratif politik kedua-dua mereka itu berkisar mengenai rakyat, persetujuan mereka untuk bertemu dan berbincang ini hanyalah atas dasar politik semata-mata.

 

"Untuk menang, macam-macam strategi serta perkara teknikal akan dibuat termasuk berkawan dengan sesiapa saja asalkan menang pilihan raya, saya tak fikir naratif mereka ini berkisar mengenai hal rakyat sebaliknya hanyalah 'cerita' politik semata-mata.

 

"Ini soal aku nak bunuh engkau dan engkau nak bunuh aku, itu saja dan tak ada cerita lain pun termasuk membela nasib rakyat".

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Daerah Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, dekat sini hari ini.


 

Datuk Seri Mahdzir Khalid
                                    Datuk Seri Mahdzir Khalid

 

 

Tambah Mahdzir, beliau yakin rakyat kini lebih bijak menilai segala percaturan yang cuba dirancang oleh Mahathir dan Anwar setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) sejak puluhan tahun lalu.

 

"Mereka ini sekejap 'cium mulut' sekejap tidak, tetapi tengoklah apa yang diberikan kepada rakyat dalam tempoh 22 bulan sewaktu kedua-duanya dalam Pakatan Harapan (PH)?

 

"Malah ketika itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pun ada bersama mereka tubuhkan kerajaan, akhirnya mereka berpisah, buat hal masing-masing kerana impian mereka bukan nak bela rakyat".

 

Tegas Mahdzir, sudah tiba masanya rakyat memberi ruang kepada ahli politik lain memacu negara selepas kedua-dua pemimpin berkenaan sudah terlalu lama berada di persada politik dan hanya muncul untuk merebut kuasa sejak puluhan tahun lalu.

 

"Ini bukan soal politik Mahathir dan Anwar atau Muhyiddin dengan Anwar, ini soal politik membina negara," kata Mahdzir.

 

Jumaat lalu, satu klip video Mahathir dipaparkan di laman media sosialnya menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Anwar berkaitan kerjasama PRU-15.

 

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau percaya dirinya dan Anwar memiliki matlamat yang sama dan tidak kisah untuk melakukan langkah pertama bagi bertemu dengan bekas timbalannya itu.

 

Anwar kemudiannya membalas kenyataan itu dengan menyatakan kesudian untuk bertemu Mahathir dan memaklumkan beliau tiada masalah untuk bertemu bekas 'bosnya' itu. - DagangNews.com