PPB Group tiada rancangan naikkan harga produk pengguna dalam masa terdekat | DagangNews Skip to main content

PPB Group tiada rancangan naikkan harga produk pengguna dalam masa terdekat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - PPB Group tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan harga produk pengguna dalam masa terdekat walaupun sedang berdepan persekitaran harga komoditi yang tidak menentu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif FFM Berhad Jeremy Goon berkata, pendirian berkaitan harga itu adalah disebabkan sentimen pengguna yang lemah pada masa ini ketika ramai terus berusaha untuk mendapatkan produk-produk yang mampu memberi nilai.

 

“Salah satu produk yang menyumbang kepada aspek (harga lebih rendah) adalah segmen minyak masak. 

 

“Adalah mencabar untuk menguruskannya berikutan terdapat skim subsidi minyak masak yang tidak hanya menjejaskan jenama kami tetapi juga jenama minyak masak lain,” katanya pada sesi taklimat media dan penganalisis mengenai prestasi kewangan suku kedua dan separuh pertama PPB Group untuk tahun kewangan berakhir pada 30 Jun, 2023, di sini, hari ini, lapor Bernama.

 

FFM dengan 80% kepentingannya dimiliki oleh PPB Group merupakan pengilang terbesar tepung di Malaysia selain turut mempunyai kepentingan dalam operasi kilang tepung di Vietnam, Indonesia, Thailand serta China.

 

Anak syarikat milik penuhnya, FFM Marketing Sdn Bhd, memasarkan pelbagai barangan pengguna cepat laris di bawah jenama seperti Anchor, Seri Murni dan Massimo serta beberapa jenama tempatan dan antarabangsa lain.

 

Mengulas mengenai sekatan berkaitan perjanjian koridor bijirin Laut Hitam dan kesan  terhadap penyumberan gandum, Jeremy berkata, syarikat terbabit sedang memantau perkembangan di kawasan berkenaan selain turut bertindak mempelbagaikan sumber tersebut.

 

ppb

 

“Kami mempunyai beberapa penghantaran awal tahun ini tetapi tidak bagi bulan-bulan mendatang. (Dari segi sumbernya) juga tidak banyak...hanya kira-kira 20%," katanya.

 

Jeremy berkata, pihaknya juga tidak mengalami sebarang penurunan minyak masak yang ketara dalam separuh pertama tahun ini kerana telah bertindak menurunkan harga agar tidak melebihi 10% bagi membolehkan jenamanya mampu bersaing dengan minyak masak bersubsidi di pasaran.

 

Malah, katanya, tiada sebarang rundingan dibuat dengan jenama minyak masak lain yang membabitkan subsidi minyak masak tersebut.

 

Dalam pada itu, bagi tempoh suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2023, keuntungan bersih PPB Group susut kepada RM202.81 juta daripada RM693.41 juta pada tahun lepas.

 

Perolehan hasilnya turut berkurangan kepada  RM1.48 bilion daripada RM1.54 bilion sebelumnya, terutama disebabkan oleh penurunan sumbangan Wilmar International Ltd sebanyak 77%kepada RM139 juta dalam suku kedua tersebut.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan PPB Group, Lim Soon Huat optimis prestasi Wilmar dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini.

 

Wilmar juga akan meneruskan pengembangannya manakala pendapatan dijangka meningkat di masa akan datang.

 

“Pada masa sama, kami juga dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan teras di sini selain meningkatkan kilang serta perniagaan produk pengguna kami.

 

“Kami juga akan memastikan perniagaan panggung wayang kekal sebagai peneraju pasaran di Malaysia,” katanya.

 

Kumpulan itu memegang 20% kepentingan dalam operasi Wilmar di China dan menjangkakan perbelanjaan pengguna yang kukuh di China berikutan kos bahan mentah yang mulai stabil.

 

“Dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ia berdepan jualan lebih rendah berikutan kos bahan mentah lebih tinggi yang menjejaskan margin keuntungan.

 

“Kami juga menyaksikan peningkatan prestasi di China (bagi tempoh separuh kedua tahun ini),” katanya. - DagangNews.com