PPVIN Pelabuhan Pulau Pinang mulakan suntikan vaksin dos kedua hari ini | DagangNews Skip to main content

PPVIN Pelabuhan Pulau Pinang mulakan suntikan vaksin dos kedua hari ini

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bagi sektor pengangkutan di Pelabuhan Pulau Pinang mula memberikan suntikan vaksin dos kedua kepada petugas barisan hadapan di pelabuhan berkenaan.

 

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, pemberian dos pertama telah dilaksanakan dengan lancar dengan kerjasama pelbagai jabatan dan perkara sama turut diharapkan bagi pemberian dos kedua.

 

"Para petugas yang komited dan bersemangat dari SPPP, Penang Port Sdn. Bhd, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Jabatan Laut Wilayah Utara, Health Care Organizer dan 40 Ejimen Pakar Pelabuhan RAJD Askar Wataniah telah menjayakan program ini.

 

"Sehubungan itu, SPPP ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam berkongsi sumber tanaga manusia, kemudahan serta kelengkapan PPVIN bagi memastikan program vaksinasi ini berhasil dan terlaksana dengan begitu baik," katanya dalam satu kenyataan.

 

SPPP telah memulakan operasi PPVIN sektor pengangkutan bagi Pelabuhan Pulau Pinang di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), George Town pada 3 Ogos 2021.

 

PPVIN tersebut diwujudkan bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Selama 18 hari masa diambil bagi proses pemberian vaksin dos pertama yang melibatkan 5,434 orang petugas.

 

Beliau yang turut mengunjungi PPVIN di Pelabuhan Pulang Pinang hari ini berkata, pemberian vaksin dos kedua yang bermula hari ini diharap dapat diselesaikan secepat mungkin.

 

"Oleh kerana logistik dan rantaian bekalan sangat penting dan tidak boleh diganggu, pelabuhan memainkan peranan yang penting semasa PKP.

 

"Pelabuhan beroperasi 24 jam setiap hari tanpa henti. Oleh itu, SPPP perlu memberikan vaksin kepada para petugas yang berkaitan dengan pelabuhan," jelas beliau lagi. - DagangNews.com