Prestasi kewangan Genting bergantung kepada pembukaan penuh ekonomi Malaysia | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan Genting bergantung kepada pembukaan penuh ekonomi Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Pembukaan semula ekonomi Malaysia akan menjadi pemangkin prestasi kewangan dalam jangka masa terdekat buat Genting Berhad. 

 

Kumpulan dijangka terus mencatatkan perolehan yang lemah bagi operasi kasino terutamanya di Malaysia ekoran lockdown yang berpanjangan, menurut penganalisis di PublicInvest Research, Eltricia Foong. 

 

“Namun, kami percaya pembukaan semula ekonomi Malaysia yang lengkap akan berlaku apabila negara mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini. 

 

“Genting Singapore (GENS) sebaliknya akan mencatatkan prestasi lebih baik memandangkan Singapura agak berjaya mengawal penularan COVID-19 berbanding negara serantau. 

 

“Mengambil kira semua itu, kami menyarankan para pelabur untuk tidak hanya menumpukan kepada kemerosotan perolehan jangka pendek, tetapi ke arah penambahbaikan secara berperingkat pada tahun 2022 atau 2023 dengan sempadan antarabangsa akan dibuka secara beransur yang memberi manfaat kepada industri pelancongan global,” jelas Foong dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

Dalam nota kajian tersebut, Foong mengulas mengenai pembatalan penyertaan GENS dalam pembidaan Resort Bersepadu Yokohama (IR). 

 

Ini ekoran Yokohama membuat keputusan untuk membatalkan proses pembidaan IR selepas Datuk Bandar baharu, Takeharu Yamanaka telah dilantik. 

 

Sebagai rekod, Yamanaka aktif berkempen dalam melawan perancangan kerajaan di Jepun untuk melonjakkan industri pelancongannya menerusi operasi kasino. 

 

“Memandangkan kami tidak mengambil kira sebarang unjuran daripada projek IR Yokohama, kami tidak mengubah unjuran dan penarafan ke atas Genting. Kekal ‘outperform’

 

“Kami percaya pemangkin dalam jangka masa terdekat untuk Genting adalah pembukaan semula ekonomi Malaysia dan perolehan perladangan yang lebih kukuh didorong harga minyak sawit mentah (MSM) yang meningkat,” tambah Foong. - DagangNews.com