KUALA LUMPUR 4 Sept - Prestasi pendapatan kebanyakan sektor korporat bagi suku kewangan berakhir Jun 2023 di negara ini dilihat kurang memberangsangkan dan lebih rendah daripada jangkaan pasaran.
RHB Investment berkata, sebanyak tujuh daripada 18 sektor mencatatkan angka yang lebih rendah dan beberapa semakan menurun dibuat ekoran pendapatan kasar serta pendapatan bersih yang lemah.
Katanya, nisbah keputusan yang tersasar berbanding yang menepati jangkaan menunjukkan sedikit penambahbaikan, namun pendapatan bagi suku kewangan berakhir Jun 2023 adalah lebih rendah suku ke suku dan tahun ke tahun.
“Semakan pendapatan merekodkan aliran negatif, walaupun sebahagian besar daripada potongan yang dibuat adalah untuk tahun kewangan 2023,” katanya satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan pendapatan korporat akan menghadkan peningkatan asas untuk ekuiti, sekali gus mendorong firma mengekalkan sasaran FBM KLCI penghujung 2023 pada 1,500 mata.
Katanya, 48.5% daripada syarikat dalam liputan melaporkan pendapatan yang mencapai jangkaan, manakala 38.5% lagi tersasar daripada unjuran.
Nisbah keputusan yang tersasar berbanding yang menepati jangkaan bertambah baik menjadi 2.9, daripada 3.6 pada suku pertama lalu.
"Hanya satu sektor, iaitu perjudian yang mengatasi jangkaan manakala tujuh sektor lain mencatat keputusan menghampakan iaitu perladangan, minyak & gas (O&G), pembinaan, penjagaan kesihatan, utiliti, produk getah dan bahan asas.
"Secara mutlak, sektor perladangan, O&G, perbankan dan produk getah menerima pemotongan anggaran pendapatan yang paling banyak," katanya. - DagangNews.com