Privasia raih kontrak rangkaian IT, keselamatan dan penyumberan luar internet bernilai RM20.6 juta daripada Westports | DagangNews Skip to main content

Privasia raih kontrak rangkaian IT, keselamatan dan penyumberan luar internet bernilai RM20.6 juta daripada Westports

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Privasia Technology Berhad menerusi anak syarikatnya, Privasia Sdn. Bhd. berjaya meraih kontrak rangkaian IT, keselamatan dan penyumberan luar internet dan perkhidmatan terurus bernilai RM20.6 juta daripada Westports Malaysia Sdn. Bhd.

 

Kontrak selama lima tahun bermula 1 April 2023 itu menyaksikan kumpulan itu bertanggungjawab untuk pembelian peralatan baharu yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan seperti yang dipersetujui bersama antara mereka dan Westports

 

"Tertakluk kepada Prosedur Kawalan Perubahan, Privasia hendaklah menambah atau mengurangkan jumlah Perkhidmatan mengikut permintaan Westports untuk perkhidmatan seperti yang dipersetujui yang mungkin memerlukan pelarasan dalam caj," kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontrak yang diumumkan itu tidak akan memberi kesan ke atas modal terbitan syarikat.

 

Ia bagaimanapun dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 31 Disember 2023 dan tahun kewangan selepas itu sehingga tamat kontrak.

 

Syarikat tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko pelaksanaan, risiko politik, risiko pandemik dan risiko negara yang berkaitan dengan kontrak. - DagangNews.com