PRN 12 Ogos 2023: Apa yang anak muda mahukan? | DagangNews Skip to main content

PRN 12 Ogos 2023: Apa yang anak muda mahukan?

Oleh Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin, mahasiswa UiTM

“Anak muda pewaris bangsa”. Itulah ungkapan yang sering kita dengari, namun sejauh mana golongan ini mampu menggembleng tenaga dan menyumbang buah fikiran ke arah kemajuan negara?

 

Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan serentak di 6 negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini kian terasa kehangatannya.

 

Berdasarkan statistik yang dikongsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi dalam lingkungan usia antara 21 hingga 29 tahun menjadi penyumbang undi terbesar daripada 9.77 juta pengundi yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

 

Golongan tersebut merekodkan jumlah seramai 2,169,120 atau 22.19 peratus dan pengundi berusia antara 18 hingga 20 adalah seramai 661,905 orang atau 6.77%.


 

parafrasa

 


Berdasarkan statistik itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa golongan muda bakal menjadi penentu kepada kemenangan parti dan calon yang bertanding pada PRN kali ini.

 

Sebagai anak muda, kami tidak mahu mana-mana calon atau parti yang hanya menanam tebu di tepi bibir, tetapi kami mahukan calon yang mempunyai rancangan yang meyakinkan untuk memenuhi aspirasi jangka panjang kami.

 

Kami juga tidak kisah sama ada calon atau parti itu bijak memanfaatkan media sosial untuk mendekati anak muda ataupun tidak, namun apa yang lebih penting lagi kami mahukan pemimpin yang mampu menangani masalah yang berlaku seperti kesukaran mendapatkan pekerjaan dan kos sara hidup yang semakin meningkat diselesaikan dengan segera.

 

Isu ini wajar dilihat dengan sepenuh perhatian oleh pihak kerajaan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang yang memberi kesan sehingga ke peringkat global.

 

Tidak dinafikan bahawa ada banyak bantuan yang telah diumumkan kerajaan, namun ia seolah-olah tidak jelas tentang cara bagaimana bantuan tersebut disalurkan sehingga pada akhirnya hilang begitu sahaja.

 

Pendek kata, kami sebagai pengundi muda akan mula memikirkan masa depan kami. Isu-isu yang berkaitan dengan kelangsungan hidup seperti rumah pertama mereka dan peluang pekerjaan akan menjadi topik utama di fikiran kami.

 

Dalam erti kata lain, kami lebih memikirkan tentang isu “bread and butter” berbanding isu yang lebih besar seperti perubahan iklim.


 

parafrasa

 


Kami akan mengundi kerajaan yang komited untuk membantu dalam meningkatkan dan mengasah kemahiran kami selain menawarkan tajaan pendidikan kepada kami yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

 

Kami juga mahukan seseorang yang mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada kami yang baru berkecimpung dalam alam pekerjaan.

 

Dari aspek ekonomi, kami ingin menyatakan hasrat bahawa kami memerlukan peluang pekerjaan yang diwujudkan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan selaras dengan kelulusan yang kami ada.

 

Latihan dan kursus serta pinjaman atau bantuan dari segi kewangan yang berkaitan dengan perniagaan terutama melalui Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga perlu disediakan agar mereka dapat memulakan langkah dalam bidang keusahawanan.

 

Kami juga menuntut agar gaji yang bakal diterima di alam kerjaya kelak setimpal dengan kemahiran dan tahap kelulusan pendidikan.

 

Kami berpendapat bahawa kerajaan perlu bijak dalam mengawal harga minyak petrol dan barang keperluan seharian agar golongan kami tidak terbeban dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

 

Bagi memenuhi keperluan sosial pula, kami mahu pihak bertanggungjawab segera mencari inisiatif untuk meluaskan jaringan internet ke seluruh kawasan di tempat kami.

 

Perkara ini penting kerana kami memerlukan medium untuk berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih pantas dan komprehensif.


 

parafrasa

 


Selain itu, kami mencadangkan aktiviti sukan dan keagamaan diperbanyakkan agar dapat memperkukuhkan nilai spiritual dalam diri kami selain dapat mencergaskan fizikal, mencerdaskan minda dan mengelakkan daripada mudah terjebak ke kancah perilaku yang tidak sihat dan sia-sia.

 

Bukan itu sahaja, kami juga menyarankan agar pihak keselamatan mempertingkatkan lagi kawalan terutamanya di kawasan bandar supaya gejala sosial dan jenayah dapat dibanteras dengan efektif dan mewujudkan institusi kemasyarakatan yang aman harmoni.

 

Dalam aspek pendidikan pula, kami mohon pihak kerajaan untuk segera mencari penyelesaian bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk melanjutkan pelajaran dengan mengadakan semula bantuan biasiswa.

 

Hal ini perlu dititikberatkan agar dapat memastikan pelajar yang berminat untuk menyambung pelajaran tidak dipinggirkan begitu sahaja.

 

Seterusnya, kami juga berpendapat agar kursus-kursus kemahiran seperti literasi komputer diperbanyakkan dan diperluaskan, seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi agar tidak ketinggalan dengan kewujudan teknologi baru yang tidak terjangkau di minda.

 

Tuntasnya, semua parti dan calon politik harus bekerja lebih keras untuk memastikan mesej mereka sampai kepada generasi muda.

 

Kami juga tidak mahu calon yang turun padang semata-mata hanya berkempen untuk meraih undi seperti musim pilihan raya ketika ini dan apabila terdapat keperluan penting seperti ketika sesuatu kawasan itu dilanda banjir.

 

Namun apabila musim tersebut berlalu dan masalah tersebut selesai, mereka lenyap begitu sahaja bagai embun di hujung rumput.


 

UM

 


Jujur boleh dikatakan bahawa rata-rata anak muda di negara ini sudah muak dengan permainan kotor ahli politik usang yang korup serta bersifat menggunakan kuasa yang ada demi kepentingan sendiri.

 

Kami juga tidak mahu melihat lagi keadaan politik yang tidak stabil dan perbalahan yang sering berlaku dalam kancah politik pada hari ini.

 

Ahli dan parti politik seharusnya mengurangkan pertikaman lidah antara mereka dan harus bersatu hati untuk fokus kepada pembangunan rakyat negeri dan negara.

 

Kami juga berharap agar pandangan politik serta isi hati kami didengari, difahami dan diteliti pihak kerajaan dalam melakukan sesuatu keputusan kepada dasar negara.

 

Kami inginkan pemimpin yang berwibawa, adil, jujur, amanah, prihatin, berfikiran terbuka, sentiasa mempunyai pandangan yang bernas serta berpandangan jauh. Bagi kami, pemimpin yang mempunyai sifat-sifat sedemikian mempunyai jiwa yang besar serta mendahulukan kepentingan rakyat terlebih dahulu berbanding keutamaan diri sendiri.

 

Secara umumnya, kami sebagai anak muda pada hari ini mahukan negara bergerak ke hadapan dan bukan mengundur ke belakang sesuai dengan peredaran masa. - DagangNews.com

 

Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin adalah mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka