Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Okt. - FGV Holdings Berhad (FGV), melalui anak syarikatnya, FGV Rubber Industries Sdn. Bhd. (FGVRI) memperluaskan pasaran getahnya ke Eropah dan Amerika Utara melalui pelantikan Rubber Heart Ltd (RHL), sebuah agensi pemasaran getah yang berpusat di United Kingdom (UK).
Pelantikan tersebut merangkumi pengembangan pasaran dan jualan strategik pelbagai gred Getah Spesifikasi Teknikal (Technically Specified Rubber) dan bahan berasaskan Getah Asli Khas (Specialty Natural Rubber) lain yang eksklusif oleh FGV untuk negara-negara di benua berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sebagai salah satu pengeluar Standard Malaysian Rubber (SMR) utama di Malaysia dengan 50 tahun pengalaman di dalam industri getah, langkah itu adalah peluang terbaik bagi FGV untuk mengembangkan dan memperkukuh senarai pelanggan antarabangsa mereka.
“Pengalaman global selama bertahun-tahun oleh RHL dalam pemasaran perniagaan getah akan memberi keyakinan dan menambah nilai dalam penawaran produk getah FGVRI.
“Saya yakin bahawa dengan pelantikan RHL ini juga akan membantu mendorong produk Getah Mesra Alam kita dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat sebagai pengganti getah sintetik, terutama dalam industri tayar,” jelas Haris Fadzilah dalam satu kenyataan hari ini.
RHL merupakan pakar teknikal dan kelestarian untuk Getah Mesra Alam FGV (Epoxidised Natural Rubber dan Deproteinised Natural Rubber), di mana FGVRI merupakan satu-satunya pengeluar di Malaysia.
Getah Mesra Alam FGV adalah getah yang diubah suai dari segi struktur molekulnya untuk menambah baik ciri-ciri agar setanding dengan getah sintetik dan dihasilkan secara eksklusif di kilang getah FGV Palong 8 di Negeri Sembilan.
Jelas FGV, pekebun kecil yang menghasilkan susu getah atau lateks juga dapat meraih pendapatan yang lebih lumayan kerana harganya yang lebih tinggi berbanding dengan getah skrap.
Sementara itu, Pengarah RHL, David Cawthra berkata, pihaknya mengagumi dan menyokong matlamat FGV untuk menjadi peneraju global dalam pemprosesan getah asli dan menawarkan produk getah berkualiti tinggi melalui pembuatan yang baik dan mesra alam.
“Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan FGV dan meneruskan hubungan dengan industri getah di Malaysia. Kami gembira dapat mengembangkan produk Getah Mesra Alam FGV ke pasaran baharu di Eropah dan Amerika Utara,” ujar Cawthra menerusi kenyataan sama.
FGV mengendalikan empat kemudahan pemprosesan getah di Malaysia yang dilesenkan oleh Lembaga Getah Malaysia (MRB) sebagai kilang SMR, dengan jumlah kapasiti pengeluaran kumpulan tahunan sebanyak 230,000 tan metrik.
FGV juga memiliki satu kilang Lateks Pekat di Thailand dan sebuah kilang di Kemboja yang menghasilkan Cambodian Standard Rubber (CSR).
Operasi getah FGV disokong oleh dua makmal yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia dengan ISO/IEC 17025:2017.
Pelbagai jenis getah asli FGV memenuhi spesifikasi Technical Specified Rubber (TSR) dengan pelanggan FGVRI terdiri daripada pengeluar-pengeluar tayar utama dunia. - DagangNews.com