Produk makanan, penjagaan badan Kepulauan Solomon tembusi pasaran Malaysia buat julung kali | DagangNews Skip to main content

Produk makanan, penjagaan badan Kepulauan Solomon tembusi pasaran Malaysia buat julung kali

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - Rakyat Malaysia kini boleh menikmati produk eksklusif #madeinsolomons terbaik dari Kepulauan Solomon, termasuk SolTuna, tuna asal tunggal dan sumber lestari yang enak dari Lautan Pasifik yang diproses secara tempatan sekali gus mengekalkan kesegaran.

 

Selain itu, ia turut menampilkan jenama barangan berasaskan kelapa yang disumberkan dan dikilang secara tempatan seperti produk penjagaan diri Coco Soap daripada Islands' Own dan KOSI oleh Kokonut Pacific Solomon Islands, yang diedarkan Bountiful Ventures Sdn Bhd.

 

Duta Besar Kepulauan Solomon, Salana Kalu berkata, pihaknya berbangga untuk membawa produk yang terbaik dari Kepulauan Solomon ke Malaysia, negara pertama di rantau ASEAN yang membawa jenama barangan tersebut. 

 

"Ini merupakan peristiwa penting bagi kami, kerana perkongsian perdagangan ini menyokong kehidupan nelayan dan petani tempatan serta keluarga mereka. 

 

"Negara kita mempunyai banyak persamaan sebagai negara membangun dan kami berharap untuk berkongsi yang terbaik antara kedua-dua negara dan mencari cara baharu untuk bekerjasama," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Kerjasama perdagangan itu disokong Kerajaan Australia melalui inisiatif Strongim Bisnis, yang memudahkan penglibatan antara sektor swasta dan kerajaan Kepulauan Solomon, memupuk pertumbuhan ekonomi inklusif bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan dengan impak positif dan berpanjangan.

 

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Simon Fellows berkata, Australia dan Kepulauan Solomon telah lama menjadi sahabat dan rakan kongsi yang rapat. 

 

 

solomon
Salana Kalu

 

 

"Dengan rakyat Malaysia sebagai pengguna setia jenama Australia, kami berbangga untuk menyokong rakan kongsi kami di Kepulauan Solomon bagi menyertai kami dalam menyampaikan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan Malaysia. 

 

"Hubungan perdagangan yang lebih kukuh di seluruh rantau Indo-Pasifik memberi manfaat kepada semua pihak dan kami teruja melihat peningkatan jumlah produk dari kedua-dua negara kami di rak pasar raya Malaysia," katanya.

 

 

solomon

 

 

solomon

 

 

Penghormatan terhadap alam sekitar dan pemerkasaan komuniti adalah tulang belakang #madeinsolomons. SolTuna (yang merangkumi jenama utamanya Solomon Blue) adalah bebas daripada membahayakan ikan lumba-lumba.

 

Ia juga diperakui halal dan diberi pengiktirafan perdagangan adil, serta mencapai pensijilan Marine Stewardship Council (MSC) yang menunjukkan produknya diurus dengan baik, dengan amalan penangkapan ikan yang memenuhi kemampanan piawaian ketat majlis itu.

 

 

solomon

 

 

Manakala Coco Soap oleh Islands' Own dan KOSI oleh Kokonut Pacific Solomon Islands menyediakan pekerjaan, latihan dan pembangunan kemahiran untuk pekerja tempatan, dan menggunakan kelapa yang diperoleh semata-mata daripada petani tempatan yang mengekalkan pemilikan tanah mereka sendiri. - DagangNews.com