Program bimbingan INSKEN pacu perniagaan lebih berdaya saing | DagangNews Skip to main content

Program bimbingan INSKEN pacu perniagaan lebih berdaya saing

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) bersama usahawan Sabah di Majlis Penyerahan Sijil Peserta Program INSKEN Business Coaching (IBC) dan Business Enhancement Program (BEP) 2020 di Kota Kinabalu hari ini.  Gambar oleh INSKEN

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) bersama usahawan Sabah di Majlis Penyerahan Sijil Peserta Program INSKEN Business Coaching (IBC) dan Business Enhancement Program (BEP) 2020 di Kota Kinabalu hari ini.  Gambar oleh INSKEN

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Program bimbingan dan pembangunan keusahawanan yang digerakkan oleh Institusi Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) dilihat mampu menjadikan perniagaan lebih berdaya saing. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara tersebut dapat dilihat melalui peningkatan potensi usahawan dalam bidang perniagaan dan pemasaran.

"Program bimbingan perniagaan ini dapat meningkatkan potensi keusahawanan peniaga selain dapat mengubah pemikiran mereka dalam bidang perniagaan.

"Usahawan yang cemerlang dan berdaya saing ini dapat membuka peluang pekerjaan selain meningkatkan ekonomi masyarakat," katanya dalam satu kenyataan bersempena Majlis Penyerahan Sijil Peserta Program INSKEN Business Coaching (IBC) dan Business Enhancement Program (BEP) 2020 di Kota Kinabalu hari ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 46 usahawan Sabah telah berjaya menamatkan program bimbingan one-on-one yang dijalankan selama empat bulan.

Melalui program bimbingan itu juga, sebanyak 24 peluang pekerjaan baharu dicipta di samping peningkatan jualan kira-kira 20% hingga 100%.

Peserta yang berjaya menerima sijil tersebut terdiri daripada 18 orang usahawan cafe dan restoren melalui penyertaan program IBC.

Manakala 18 individu lagi adalah usahawan dalam pelbagai industri yang menyertai program BEP.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin memberitahu, program bimbingan yang dijalankan itu merupakan satu inisiatif yang lebih spesifik dan berkesan.

"Dengan adanya sesi bimbingan daripada industri berkaitan, program ini dapat membimbing usahawan dengan lebih dekat.

"Program ini juga mambantu usahawan untuk mereka terus berdaya saing dan kekal dalam industri yang diusahakan mereka," ujarnya. - DagangNews.com