PROLINTAS korban 13 ekor lembu sempena Aidil Adha | DagangNews Skip to main content

PROLINTAS korban 13 ekor lembu sempena Aidil Adha

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan (paling kanan) menyerahkan simbolik sumbangan PROLINTAS kepada Datuk Bandar Shah Alam Datuk Haris Kasim disaksikan oleh Exco Selangor, Ir Izham Hashim (dua dari kanan) dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan (paling kiri).

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sempena dengan sambutan Aidiladha tahun ini, Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS)  menyumbang sebanyak 13 ekor lembu dan dagingnya diedarkan kepada lebih 1,300 keluarga asnaf yang tinggal berhampiran dengan kesemua jajaran lebuh raya seliaanya seperti Ampang, Keramat, Cheras, Kajang, Shah Alam, Subang dan Sungai Buloh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah, program ini adalah agenda tahunan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan hampir setiap tahun sejak PROLINTAS beroperasi 25 tahun yang lalu.

Beliau yang ditemui pada majlis penyerahan daging korban di Wisma MBSA Shah Alam berkata, “Pada tahun ini, PROLINTAS telah bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam menganjurkan majlis pengedaran daging korban di Shah Alam dengan menyumbang seekor lembu khas untuk diagihkan dagingnya kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan tersebut.

Kerjasama PROLINTAS dengan MBSA bagi ibadah korban ini adalah kesinambungan dari siri program CSR yang telah dianjurkan bersama oleh kedua-dua pihak di antaranya Shah Alam Trees For Life dan Earth Hour”.

Majlis penyerahan itu juga dihadiri dan penyerahan disempurnakan bersama oleh Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haji Haris Kasim. Turut hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan Exco Selangor, Ir. Izham Hashim.

“Bagi mendapatkan senarai keluarga asnaf yang layak menerima agihan daging korban PROLINTAS telah mendapat kerjasama daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memastikan tiada keluarga asnaf yang tercicir. Ini juga merupakan salah satu program dari pelbagai program yang dijalankan oleh syarikat dalam usaha mendampingi masyarakat di sekitar jajaran lebuhraya kami”, ujar Dato’ Mohammad Azlan lagi.

Terdahulu, siri pengagihan daging korban berlangsung di beberapa kawasan seperti di Pusat Perumahan Rakyat Jelatek, Kampung Tasek Permai, Alam Damai, Kampung Melayu Ampang, Kampung Sungai Ramal Luar, Bukit Subang, Taman Sri Lembayung dan Kota Damansara.

 

lintas
Kakitangan PROLINTAS bersama penerima sumbangan daging korban sempena Aidil Adha.


Bagi mematuhi SOP yang digariskan oleh kerajaan berikutan penularan wabak COVID19, pengedaran dijalankan oleh kakitangan lebuh raya PROLINTAS secara berasingan yang terdiri dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Kajang SILK (SILK), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH). Pengedaran daging hanya kepada wakil keluarga asnaf sahaja. - DagangNews.com