Prospek Dialog kukuh tetapi mencabar - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prospek Dialog kukuh tetapi mencabar - Penganalisis


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Prospek Dialog Group Bhd. dilihat terus mencabar ekoran prestasi kewangan yang kurang memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

 

Keuntungan bersih Dialog bagi tempoh itu susut kepada RM543.14 juta daripada RM630.36 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Perolehan juga berkurangan kepada RM1.6 bilion daripada RM2.3 bilion bagi tempoh yang sama.

 

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2021, keuntungan bersih Dialog susut kepada RM138.54 juta daripada RM156.68 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2020 manakala perolehan berkurangan kepada RM522.14 juta daripada RM539.94 juta.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap berkata, meskipun prestasi suku keempat itu memenuhi jangkaan mereka tetapi, ia mengharapkan keputusan yang lebih baik bagi Dialog.

 

Katanya, perolehan bagi suku keempat meningkat 29% suuku ke suku berbanding suku ketiga, tetapi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) hanya meningkat sedikit 3.6% suku ke suku. 

 

"Tiada penjelasan dari Dialog mengenai perkara ini dalam laporan kewangannya yang dikeluarkan di Bursa Malaysia semalam. 

 

"Tetapi, kami mengesyaki terdapat beberapa kos atau perbelanjaan berkaitan pengoperasian terminal BP Singapura, atau beberapa kenaikan kos kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) yang mungkin menyebabkan prestasi EBITDA kurang memuaskan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, pengembangan perniagaan Dialog akan terus terjejas selagi penutupan sempadan global masih dilaksanakan manakala perolehan menerusi penyelenggaraan loji pula mungkin terbatas. 

 

Keadaan ini, katanya, secara tidak langsung menunjukkan tiada pemangkin kepada harga saham bagi tempoh jangka pendek. 

 

"Namun, permintaan minyak bagi rantau Asia Pasifik dilihat berkembang lebih 2 dekad akan datang dan terminal Pengerang memiliki potensi jangka sederhana dan panjang. 

 

"Selepas penjualan harga sahamnya susut 31% dalam tempoh lebih 12 bulan lalu, penilaian P/BV dan P/E bagi Dialog susut ke paras 2016, dan mungkin perlu dikaji semula dengan dana jangka panjang," tambahnya. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham Dialog dengan harga sasaran RM3.69. 

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, prospek dan model perniagaan Dialog kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi. 

 

"Dialog kekal yakin dengan model perniagaannya yang berstruktur dalam menguruskan dan bertahan dalam mengharungi prospek ekonomi, harga minyak mentah Brent yang tidak menentu dan pergerakan mata wang yang berbeza-beza," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Dialog berdasarkan keyakinannya terhadap prospek Dialog untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan di terminal Langsat. 

 

Selain itu, katanya, Dialog juga mengambil inisiatif untuk membangunkan Pengerang Deepwater Terminal (PDT) sebagai pusat operasi bagi kemudahan hidrokarbon dan petrokimia terbesar di ASEAN.

 

"Dengan 500 ekar lagi kawasan untuk dibangunkan, kedudukan lokasi ini adalah strategik dan mampu memainkan peranan sebagai hab sehenti bersepadu.

 

"Sehubungan itu, Dialog akan terus memajukan PDT untuk membolehkan pemain hidrokarbon dan petrokimia merebut peluang pertumbuhan permintaan di Asia Pasifik dalam tempoh 30 tahun akan datang," jelasnya. - DagangNews.com