Prospek dilihat suram, penganalisis kekal saranan 'pegang' saham Top Glove | DagangNews Skip to main content

Prospek dilihat suram, penganalisis kekal saranan 'pegang' saham Top Glove

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Top Glove Corp. Bhd. dilihat masih berdepan cabaran dari segi harga purata jualan (ASP) yang lemah meskipun produk sarung tangan getah keluarannya kembali memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS). 

 

Keadaaan ini disebabkan permintaan baharu bagi bekalan sarung tangan getah dan trend pembelian yang semakin perlahan, menurut penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw.

 

Berdasarkan data Top Glove, harga ASP pada September (per 1,000 keping) adalah sekitar AS$40 hingga AS$45 (suku ketiga 2021 : AS$89) bagi nitril dan AS$35 hingga AS$40 untuk lateks asli (suku ketiga : AS$56). 

 

"Ini adalah lebih rendah daripada jangkaan, dan kami mengurangkan unjuran ASP bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 untuk nitril (AS$69/AS$35/AS$29) dan lateks asli (AS$41/AS$29/AS$26)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jumaat lalu, Top Glove memaklumkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS percaya pembuatan dan pengeluaran sarung tangan oleh kumpulan tidak terpalit dengan isu buruh paksa. 

 

Ekoran itu, produk sarung tangan pakai buang Top Glove dibenarkan memasuki negara itu berkuat kuasa 10 September 2021.

 

Baca : Isu buruh paksa selesai, Top Glove boleh eksport semula sarung tangan ke AS 

 

Baca : Top Glove raih semula reputasi, kini berdepan pula dilema ASP sarung tangan getah

 


CGS-CIMB melihat penarikan semula sekatan dari CBP AS ini adalah positif kepada Top Glove memandangkan operasi jualan di Malaysia ke AS menyumbang kira-kira 15% daripada jumlah jualan (bagi tahun kewangan 2020).

 

Sejak sekatan itu dikenakan pada Julai 2020, Top Glove telah mengalihkan pasaran eksport sarung tangan getahnya ke pasaran lain, yang mempunyai ASP adalah lebih lemah dan corak penggunaan juga rendah, sedangkan pemain lain dapat memanfaatkan ASP yang lebih tinggi dalam pasaran AS.

 

Menurut Aw, Top Glove telah menangguhkan beberapa pelan pengembangannya disebabkan cabaran persekitaran operasi semasa. 

 

Sebelum ini, kumpulan merancang untuk meningkatkan kapasiti daripada 100 bilion kepada 205 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2024 yang kemudiannya dikurangkan kepada 174 bilion.

 

"Walaupun ia akan melambatkan pertumbuhan kapasiti Top Glove dalam tempoh jangka pendek tetapi, ia akan mendapat kelebihan jangka masa panjang apabila kapasiti bekalan global lebih terkawal dalam sektor sarung tangan getah," jelasnya.

 

Dengan mengambil kira ASP yang lebih rendah, impak sekatan pergerakan dan pertumbuhan kapasiti yang perlahan, CGS-CIMB menyemak turun saranan ke atas saham Top Glove kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini. 

 

Malah, harga sasaran juga disemak semula lebih rendah kepada RM3.48. Firma itu turut menyemak semula pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 21.5 hingga 46.9%.

 

"Pada pandangan kami, penilaian semasanya menunjukkan pendapatan yang lemah pada masa akan datang dan juga kekurangan pemangkin dalam tempoh jangka pendek," tambahnya.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' ke atas Top Glove dengan nilai saksama lebih tinggi pada RM3.77 berbanding RM3.66 sebelum ini.

 

Katanya, ia juga secara tidak langsung dapat meningkatkan semula harga saham Top Glove sekali gus menambah baik persepi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terhadap kumpulan.

 

"Kami melihat penarikan sekatan AS ini adalah satu perkembangan positif dan mengurangkan kebimbangan terhadap ESG. 

 

"Oleh itu, kami meningkatkan penarafan ESG ini kepada 3 bintang berbanding 2 bintang sebelum ini buat Top Glove," katanya.

 

Firma itu juga percaya, ASP akan terus menurun pada suku ketiga dan keempat tahun ini ekoran bekalan sarung tangan getah yang tinggi dalam tempoh terdekat. 

 

Setakat 10.27 pagi ini, harga saham Top Glove susut 6 sen atau 1.75% kepada RM3.37 dengan 6.94 juta saham diniagakan. - DagangNews.com