Lakaran grafik bagi projek pembangunan 8 Conlay.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Projek pembangunan 8 Conlay dan Park Regent dijangka memacu pendapatan GDB Holdings Bhd. bagi tahun kewangan 2022, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham GDB dengan harga sasaran tidak berubah pada 63 sen.
"Sekiranya ia berjalan lancar, projek berkenaan akan meningkatkan unjuran kami pada tahun kewangan 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Oktober lalu, GDB memperoleh kontrak bernilai RM1.25 bilion iaitu kontrak tunggal terbesar pernah diraihnya setakat ini membabitkan kerja-kerja sebagai kontraktor utama pembangunan projek pembangunan bercampur, 8 Conlay di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Kontrak bagi pembinaan kediaman premium Park Regent di Desa ParkCity, Kuala Lumpur pula diperoleh pada 2019 bernilai RM517 juta.
Berdasarkan taklimat dengan kumpulan baru-baru ini, HLIB mendapati GDB telah meningkatkan 100% kadar operasi sejak awal September 2021 bagi projek pembinaan di Semenanjung Malaysia yang merangkumi 94% daripada nilai projeknya.
Bagi projek Hyatt Centric Hotel, Kota Kinabalu (HCKK) pula kekal pada kadar operasi 60% susulan kadar vaksinasi yang perlahan di Sabah.
"Bagaimanapun, dengan 6% daripada nilai projek, operasi GDB secara umumnya akan kembali normal pada suku keempat 2021," tambahnya.
Setakat ini, nilai kontrak GDB berada pada RM1.8 bilion yang mencerminkan 5.0x liputan bagi perolehan tahun kewangan 2020 yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.
"Lanjutan tempoh masa telah diperoleh bagi semua projek seperti di bawah klausa kontrak, justeru, pengurusan yakin dengan semakan semula ini, projek akan disiapkan seperti dijadualkan," jelasnya. - DagangNews.com