Prospek Hextar masih meyakinkan dipacu penguasaan pasaran luas | DagangNews Skip to main content

Prospek Hextar masih meyakinkan dipacu penguasaan pasaran luas

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Penganalisis optimis terhadap prospek pertumbuhan Hextar Global Berhad, dipacu oleh kedudukannya yang mengungguli ruang pasaran agrokimia domestik selain strategi pengambilalihan kumpulan. 

 

Hextar difahamkan memegang kira-kira 30% penguasaan pasaran tersebut, menurut penganalisis di Public Investment Bank, ​​Ching Weng Jin.

 

“Kumpulan telah melaksanakan tiga pengambilalihan sejak awal tahun ini iaitu Chempro Group of Companies pada nilai RM138 juta (jaminan keuntungan tiga tahun terkumpul bernilai RM39 juta), Nobel Group of Companies bernilai RM105 juta (jaminan keuntungan tiga tahun terkumpul bernilai RM42 juta) dan 49% kepentingan di dalam Enra Kimia Sdn Bhd pada nilai RM24.5 juta.

 

“Kumpulan kini menembusi sektor pembersihan, sarung tangan getah dan industri minyak dan gas, sebagai tambahan kepada pendedahan agrikulturnya, walaupun semua itu masih melibatkan ruangan kimia. 

 

“Kami positif terhadap kerjasama itu memandangkan mereka mengurangkan kemungkinan kitaran dalam profil pendapatan kumpulan, di mana secara tidak sengaja akan meningkat antara 40% hingga 50% (kos pembiayaan bersih). Sementara itu, kumpulan juga memeterai perjanjian konsortium dengan Arcadia Acres dan Ihsan Equity bagi permohonan lesen perbankan digital, walaupun ini masih lagi jauh,” kata Weng Jin dalam satu nota kajian.

 

Hextar menyaksikan keuntungan bersih kumpulan menyusut 12.4% pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) kepada RM18 juta daripada RM20.6 juta yang dicatatkan tempoh sama, tahun lalu. 

 

Baca : 1HFY21 : Untung bersih Hextar merosot 12.4% ekoran harga bahan mentah naik

 

Kemerosotan itu terutamanya disebabkan oleh margin keuntungan kasar yang lebih rendah iaitu 19.9% daripada 22.4% ekoran harga bahan mentah dan kos overhead yang meningkat.  

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan menyaksikan pertumbuhan 4% kepada RM213.5 juta pada tempoh sama berbanding 1HFY20, RM205.3 juta yang dipacu oleh jualan domestik dalam segmen agrikultur. 

 

PublicInvest mengekalkan unjuran prestasi kewangan kumpulan buat masa ini sementara menunggu pengambilalihan Nobel dan Enra Kimia dilengkapkan. 

 

Firma itu turut mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas Hextar dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.27 sesaham. - DagangNews.com