Prospek perolehan jangka panjang Gas Malaysia kekal positif | DagangNews Skip to main content

Prospek perolehan jangka panjang Gas Malaysia kekal positif

Gas Malaysia Berhad (GMB). Kredit gambar The Edge Markets

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangenews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Prospek perolehan jangka panjang syarikat Gas Malaysia Berhad (GMB) kekal positif dengan menilai kepada profil pendapatan yang kukuh di samping perancangan dan kerangka kerja yang baik.

 

Kenanga Research berkata, dengan menilai kepada prestasi kewangan semasa syarikat juga, pihaknya harga sasaran sesaham (TP) Gas Malaysia ditingkatkan kepada RM3.00 berbanding RM2.91 pada sebelumnya.

 

"Oleh itu, penarafan saham Gas Malaysia kekal 'outperform' yang turut disokong oleh hasil dividen yang menarik iaitu lebih 5%.

 

"Risiko kepada saranan kami ini ialah margin yang lebih rendah berbanding jangkaan pada masa akan datang," jelas Kenanga Research.

 

Bagi rekod, GMB mencatatkan keuntungan sebanyak RM118.0 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) sekali gus merekodkan margin yang melebihi jangkaan.

 

Jumlah jualan menyaksikan sedikit penurunan sebanyak 2% berbanding suku sebelumnya semasa PKP 3.0, namun dengan pendapatan terakru pada suku kedua 2021 akan mengelakkan ketidakstabilan pada suku keempat. 

 

Keuntungan bersih bagi tempoh sama 1HFY21 meningkat 28% berbanding tahun lalu didorong oleh jumlah jualan gas yang lebih tinggi (+2.6% mata YoY) serta pelarasan had perolehan pada suku kedua 2021.

 

GMB mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 4.8 sen pada suku kedua 2021 berbanding 4.25 sen pada suku kedua tahun lalu.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, GMB meletakkan sasaran untuk mendapatkan 50 pelanggan industri baharu pada FY21, 25 daripadanya telah berdaftar pada separuh pertama 2021.

 

Kumpulan tersebut juga menjangkakan jumlah gas pada tahun kewangan 2021 akan meningkat seiring dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dalam lingkungan 3 hingga 4% mengikut unjuran Bank Negara.

 

MIDF Research yang mengulas berkaitan cabaran GMB berkaitan wabak COVID-19 berkata, pandemik terus akan terus menjadi faktor utama yang mengganggu prestasi dan pertumbuhan syarikat tersebut.

 

Susulan itu, GMB mengharapkan kepada kelonggaran sekatan sempadan secara beransur-ansur selain kepantasan tahap vaksinasi di seluruh negara.

 

"Di tengah ketidakpastian ini, kumpulan ini akan terus berwaspada dalam mengekalkan prestasi keuntungan tahun ini.

 

"Selain peningkatan kepada harga gas yang tinggi, liberalisasi harga gas pada masa hadapan dan peningkatan permintaan LNG di peringkat domestik serta global, kami yakin GMB akan dapat mencapai sasaran tahunannya," tambah MIDF Research. - DagangNews.com