Prospek perolehan jangka pendek Genting Malaysia mencabar - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Prospek perolehan jangka pendek Genting Malaysia mencabar - Kenanga

Genting Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Prospek perolehan jangka pendek bagi syarikat Genting Malaysia Berhad (GENM) dilihat mencabar.

 

Kenanga Research berkata, situasi berkenaan dinilai berdasarkan kepada kes COVID-19 yang semakin meningkat khususnya di Lembah Klang.

 

"Dengan kes positif COVID-19 yang meningkat khususnya di Lembah Klang, prospek perolehan jangka pendek GENM adalah sangat mencabar.

 

"Oleh itu, Genting Singapore Ltd (GENS) dijangka memacu perolehan Genting dalam masa terdekat.

 

"Sementara menunggu keputusan suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) kumpulan akhir bulan ini, kami kekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran sebanyak RM6.05," jelas Kenanga Research.

 

GENS melaporkan hasil separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) yang lemah dengan penyusutan keuntungan sebanyak 40% kepada SG$111.5 juta berbanding separuh kedua tahun kewangan 2020.

 

Prestasi tersebut terjejas akibat daripada perintah kawalan pergerakan semalam sebulan susulan kemunculan semula kes COVID-19 sekali gus memberi kesan kepada pemulihan perolehan.

 

Menurut PublicInvest Research pula, GENS memperoleh keuntungan bersih sebanyak AS$88.2 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 berbanding kerugian bersih SG$116.7 juta bagi tempoh sama.

 

Situasi berkenaan disebabkan oleh kebanyakan operasi di Resorts World Sentosa (RWS) yang ditutup bermula April hingga Jun 2020.

 

Bagaimanapun, PublicInvest Research melihat potensi pemulihan yang beransur-ansur bagi GENS susulan pembukaan semula ekonomi mulai 2021.

 

Bagi operasi Genting di Malaysia pula, PublicInvest Research memberitahu, meskipun kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan kelonggaran pergerakan kepada individu yang menerima dua dos vaksin, pihaknya yakin impak ekonomi di Resorts World Genting akan terus perlahan.

 

Situasi itu diambil kira kepada perjalanan antara negeri yang masih disekat.

 

"Walaupun begitu, kami berpendapat bahawa pelabur tidak seharusnya memberi fokus kepada penyusutan perolehan jangka pendek ini, tetapi perlu memberi fokus ke arah peningkatan secara beransur-ansur bagi kumpulan pada 2022," jelas PublicInvest Research. - DagangNews.com