Prospek sektor hartanah terjejas akibat kuasa membeli semakin lemah - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor hartanah terjejas akibat kuasa membeli semakin lemah - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Prospek sektor hartanah diunjur terus terjejas kerana kuasa membeli pengguna menjadi semakin lemah akibat peningkatan inflasi.

 

Kenanga Research berkata, kemampuan isi rumah terus terhakis selepas kerajaan berhasrat untuk menghapuskan subsidi petrol dan elektrik bagi golongan T20.

 

Katanya, harga hartanah yang lemah jelas menunjukkan kuasa harga terhad yang dimiliki pemaju.

 

"Bagaimanapun, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menurun kepada kedudukan yang lebih sihat sebanyak 81% pada akhir 2022berbanding 93% pada 2020.

 

"Kadar kelulusan pinjaman untuk enam bulan pertama tahun ini pulih dan stabil pada kira-kira 43% tetapi masih merosot berbanding 45% hingga 51% yang dilihat semasa kitaran naik pada 2011 hingga 2014," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam usaha mendapatkan lebih ramai pembeli, pemaju perumahan perlu memikirkan lokasi produk, saiz, reka bentuk dan susun atur, harga serta pengiktirafan jenama.

 

Katanya, kesemua faktor itu mesti dipertimbangkan bagi memastikan kos terkawal, sesuatu yang dirasakan mencabar memandangkan peningkatan ketara dalam kos pembinaan sejak 2020 (komponen kos terbesar untuk pembangun antara 40% hingga 70% daripada KDNK).

 

"Kami menjangkakan pemaju hartanah akan terus bergelut untuk menanggung kos pembinaan yang tinggi kerana kenaikan harga akan menjejaskan pengambilan, meletakkan daya maju pelancaran baharu pada risiko atau terpaksa mengorbankan margin keuntungan," katanya.

 

Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap pinjaman tinggi pemaju yang akan diterjemahkan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi dan potensi masalah mudah tunai semasa kitaran naik kadar faedah semasa.

 

Katanya, pendapatan pemaju hartanan ini akan terus terjejas oleh tahap kewangan yang tinggi.

 

"Kami mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor itu dan di bawah persekitaran operasi yang sangat mencabar ini, kami terus memilih pemaju dengan aliran tunai yang kukuh yang boleh memperoleh dividen yang baik," katanya. - DagangNews.com