Prospektus IPO sebagai panduan pelabur runcit | DagangNews Skip to main content

Prospektus IPO sebagai panduan pelabur runcit

Oleh DR. NORLIZA CHE YAHYA

 

 

TAWARAN Awam Permulaan atau IPO adalah penawaran sejumlah saham sesebuah syarikat buat pertama kalinya kepada masyarakat atau pelabur awam di pasaran saham.

 

IPO juga merupakan proses di mana sesebuah syarikat milik persendirian akan mula disenaraikan ke pasaran saham dengan membuka peluang kepada pelabur awam memegang saham syarikat tersebut dan mendapatkan pulangan pelaburan menerusi penglibatan mereka di syarikat yang mempunyai prospek pertumbuhan dan keuntungan tinggi di masa hadapan.

 

Walaubagaimanapun, di sebalik peluang ini, kebanyakan pelabur runcit yang baru tidak mempunyai kemahiran memilih syarikat yang sesuai mengikut objektif pelaburan mereka disebabkan oleh faktor kekurangan pengalaman dan asas pengetahuan terutamanya pelaburan di konteks IPO ini.

 

Akibatnya, pelabur runcit tidak dapat membuat keputusan pelaburan tepat, menjadi spekulatif dan hanya melabur bagi jangka masa pendek.

 

Kelemahan yang dialami oleh pelabur runcit ini dilihat berpontesi membantutkan inisiatif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia untuk mencapai tahap kelestarian pasaran yang lebih tinggi melalui penyertaan aktif pelabur runcit di dalam jangka masa panjang.

 

Oleh itu, kesedaran tentang sumber maklumat syarikat yang terlibat dengan IPO adalah penting bagi pelabur runcit.

 

Umum mengetahui bahawa proses IPO memerlukan syarikat terlibat untuk menyediakan prospektus. Prospektus IPO adalah dokumen yang merangkumi perincian penawaran awam awal, peluang, risiko, prestasi kewangan syarikat yang terkini dan rancangan penggunaan dana yang dikumpulkan dari penawaran awam awal ini.

 

Seperti termaktub di dalam garis panduan prospektus yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah Seksyen 377, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), prospektus bertujuan memaklumkan dan mengukur minat calon pelabur terhadap saham baru yang ingin diterbitkan.

 

Perenggan 1.08 di dalam garis panduan prospektus ini, maklumat di dalam prospektus juga mestilah disampaikan dengan cara yang telus dan mudah difahami bagi membolehkan pelabur menilai dan membuat keputusan pelaburan yang tepat.

 

 

SC

 

 

Dari perspektif calon pelabur runcit, prospektus IPO boleh berfungsi sebagai "pusat perkhidmatan pelanggan” bagi mereka memperoleh makluman dan pemahaman awal mengenai syarikat yang diajukan untuk penyenaraian awam.

 

Di dalam konteks pasaran saham di Malaysia, prospektus IPO biasanya dapat dicapai di bahagian pengumuman syarikat di laman web Bursa Malaysia dan di akaun perdagangan pelabur runcit beberapa hari sebelum penyenaraian sesuatu syarikat itu ke pasaran saham.

 

Oleh itu, walaupun tanpa pengalaman pelaburan yang luas, pelabur runcit sebenarnya mempunyai sumber maklumat kukuh untuk membantu mereka menganalisis prospek sesuatu syarikat yang terlibat dengan penawaran awam awal.

 

Seterusnya, ia dapat membantu mereka membuat keputusan pelaburan yang lebih telus.

 

Di samping itu, ketiadaan akses oleh pelabur runcit mengenai sejarah operasi awam sebelum penyenaraian syarikat ke pasaran saham dari mana-mana medium di atas talian juga memperlihatkan kepentingan prospektus IPO ini sebagai sumber rujukan utama bagi pelabur runcit mendapatkan makluman awal mengenai syarikat yang diajukan untuk penyenaraian awam.

 

Justeru itu, kesedaran pelabur runcit tentang kewujudan prospektus IPO adalah sangat penting.

 

Selari dengan objektif garis panduan ekuiti dan objektif Pelan Induk Pasaran Modal 2 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, penyediaan maklumat di prospektus adalah untuk meningkatkan tahap ketelusan pasaran dan melindungi bakal pelabur dari ketidakpastian maklumat melalui pendedahan maklumat yang terus dan telus.

 

Ini dapat meningkatkan tahap keyakinan para pelabur dan mewujudkan penyertaan aktif dari pelabur awam terutamanya pelaburan runcit baru di pasaran melalui tahap asimetri maklumat yang berkurang secara berterusan.

 

Oleh itu, penyediaan prospektus dan kesedaran pelabur runcit tentang kewujudan dokumen ini bukan sahaja diharapkan dapat membantu pelabur runcit membuat keputusan pelaburan, malah menarik penyertaan yang lebih tinggi dari bakal pelabur runcit terutamanya pelabur runcit baru ke pasaran Malaysia bagi jangka masa panjang.

 

Ia penting bagi mengukuhkan dan mengekalkan lagi kelestarian pasaran saham di Malaysia. - DagangNews.com

 

 

 

dr norliza
Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam