RAKYAT Pakistan meninjau model Proton Saga semasa pelancaran pusat jualan Proton di Karachi, pada April lalu.
SHAH ALAM 16 Jun – Proton bakal memulakan operasi pemasangan model saga di Pakistan pada akhir Julai atau awal Ogos ini, setelah kilang pemasangan seumpamanya beroperasi di Kenya.
Pengarah Jualan Antarabangsa, Proton, Steven Xu berkata, jika segalanya berjalan dengan lancar, rakan kongsi Proton di Pakistan, Al-Haj Automotive, akan memulakan operasi pemasangan Proton Saga pada akhir bulan Julai atau awal bulan Ogos di kilang baharu mereka di Karachi.
"Pemasangan Proton X70 akan dijalankan kemudian sebagai tambahan kepada barisan pemasangan, dan kami menaruh harapan tinggi yang mana perkembangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan di rantau Asia Selatan.
"Dengan pertumbuhan jualan domestik yang meningkat, pemasangan model Proton di pasaran eksport juga amat penting bagi memastikan syarikat mampu mencapai sasaran jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan di sini.
Berikutan penguatkuasaan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia bagi memastikan jangkitan wabak COVID-19 dikurangkan, operasi syarikat automotif terhalang dengan penutupan pusat jualan.
"Ini akan mempengaruhi jumlah jualan keseluruhan industri dalam tempoh beberapa bulan, tetapi Proton tetap optimistik dengan hasil jualan yang ditunjukkan oleh bahagian jualan antarabangsanya.
"Sejumlah 669 unit kenderaan telah dijual oleh pengedar pada bulan Mei 2021, mencatat hasil yang terbaik sejak Mac 2013, setelah tempoh 98 bulan. Sehingga penghujung bulan Mei, jumlah jualan adalah sebanyak 174% daripada sasaran berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan hanya kurang 6% sahaja berbanding keseluruhan tahun 2020," katanya.
Xu berkata, peningkatan jualan eksport Proton dipengaruhi oleh permintaan di pasaran tertentu, sesetengahnya adalah pasaran baru dan yang lain sudah menjual kereta Proton sejak berdekad lalu.
Sebagai contoh, Pakistan adalah pasaran baru bagi syarikat tetapi bagi tempoh lima bulan yang pertama tahun 2021, ia merupakan pasaran eksport yang terbaik. Dalam masa yang sama, Brunei yang menjual kereta Proton sejak tahun 1987, menduduki tempat ketiga dari segi jualan tahun ini dan pada bulan Mei, pengimport Proton PAD Motors telah mencatatkan jualan terbaik syarikat sejak penubuhan syarikat itu.
Tidak juga ketinggalan, Alpha Ezz El-Arab, pengimport dan pengedar kereta Proton di Mesir, telah menjual 350 unit kereta Proton tahun ini, menduduki tempat kedua terbesar bagi pasaran eksport Proton.
“Pada permulaan tahun, perancangan bagi tahun 2021 adalah untuk meningkatkan jualan eksport Proton
secara agresif. Walaupun terdapat kekangan antarabangsa dan peningkatan kos penghantaran akibat wabak COVID-19, kami tetap yakin akan mencapai sasaran kerana pelan jualan daripada pengimport dan kelebihan yang ada pada produk kami.
"Namun selepas lima bulan, kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding apa yang disasarkan, dan kami berharap agar ianya merupakan penanda bagi kejayaan berterusan tahun 2021,” kata Xu.
Sementara pertumbuhan jualan di pasaran eksport merupakan tanda pasti penerimaan luas terhadap jenama Proton dan produknya, kunci utama untuk mencapai sasaran jangka masa panjang adalah mengekalkan pertumbuhan di pasaran ASEAN.
Rantau ini merupakan pasaran yang sengit dengan pelbagai jenama antarabangsa melabur dalam fasiliti produksi yang membekal kepada pasaran tempatan dan eksport, juga sebagai saingan kepada pengilang tempatan.
Buat masa ini, kehadiran Proton di pasaran ASEAN terhad kepada Brunei tetapi syarikat mempunyai
rancangan untuk kembali kepada dua pasaran terbesar di rantau ini iaitu Thailand dan Indonesia, dalam masa terdekat.
“Untuk Proton mendapat tempat ke-tiga jualan tertinggi di pasaran ASEAN, kita perlu berada di pasaran
Thailand dan Indonesia secara meluas. Sebagai pasaran terbesar di rantau ini, mereka memberikan potensi
untuk penambahan jumlah jualan, akan tetapi saingan juga amat tinggi.
"Bagi kedua-dua negara berkenaan, pihak kami sedang berusaha dalam carian rakan kongsi untuk membina satu rangkaian bagi memastikan satu model perniagaan berdaya maju dan dalam masa yang terdekat, matlamat kami adalah untuk kembali ke pasaran Thailand pada tahun 2022,” kata Xu. - DagangNews.com