PRU-15 mungkin berlaku dalam 6 bulan terakhir 2021 | DagangNews Skip to main content

PRU-15 mungkin berlaku dalam 6 bulan terakhir 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - CGS-CIMB Research percaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin berlaku dalam tempoh separuh kedua 2021 (2H21) atau enam bulan terakhir tahun itu.

 

Ini lebih awal sebelum mencapai had tempoh pada September 2023.

 

“Kemungkinan PRU-15 diadakan apabila penularan pandemik COVID-19 mereda. 

 

“Kami percaya ini mungkin berlaku pada 2H21 sekiranya negara berjaya mengekang penularan pandemik berkenaan menerusi program vaksinasi masyarakat,” kata CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini. 

 

Jelas firma penyelidik itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan pada 28 November lalu bahawa PRU akan dijalankan apabila COVID-19 berjaya dikawal. 

 

Muhyiddin memberi gambaran bahawa beliau merancang untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan diingini. 

 

“Ini mungkin mendorong kepada pengambilan keuntungan (dalam pasaran saham tempatan) kerana ketidaktentuan terhadap hasil daripada PRU berkenaan,” tambah CGS-CIMB.

 

Bagaimanapun, dalam nota kajian berbeza sebelum ini, pelaksanaan PRU akan menawarkan jualan bonanza iklan kepada institusi media terutamanya arus perdana.

 

Baca : Suntikan iklan PRU-15 ‘harapan utama’ syarikat media

 

Sebelum ini, DagangNews.com ada melaporkan CGS-CIMB memberi amaran bahawa ketidaktentuan politik akan memberi risiko penurunan kepada jangkaan pemulihan ekonomi. 

 

Malaysia telah dikejutkan dengan perubahan kerajaan kepada Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan gabungan blok Bersatu, UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

 

Baca : Amaran risiko penurunan ekonomi Malaysia akibat pergolakan politik - CGS CIMB

 

Dilaporkan, PN ketika ini memegang 113 kerusi di Parlimen, yang menyumbang kepada majoriti dua kerusi.

 

Jelas CGS-CIMB, majoriti tipis itu meletakkan risiko kepada prospek ekonomi kerana wujudnya kebimbangan penggubalan dan pelaksanaan dasar yang menjadi sandaran gabungan politik itu.

 

“Pasaran dijangka terjejas akibat ketidaktentuan politik yang negatif berikutan landskap politik baharu, setelah negara diperintah oleh satu sistem parti sahaja selama 61 tahun sehingga PRU-14 pada Mei 2018. 

 

“Sekiranya pilihan raya diadakan, kami menjangkakan pasaran saham akan naik dan turun ketika tempoh Parlimen dibubarkan atau berakhir, terutama selama tempoh berkempen. 

 

“Tetapi prestasi pasaran saham selepas itu akan ditentukan oleh tekanan penjualan ketika tempoh berkempen dan keputusan pilihan raya,” tambah CGS-CIMB.

 

Jelas CGS-CIMB, sekiranya tekanan penjualan saham tegang dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum PRU, ini bermakna hampir semua berita buruk telah mempengaruhi harga saham. 

 

Dalam pada itu, pasaran juga dijangka reda sekiranya kerajaan baharu yang dibentuk mempunyai majoriti kukuh dalam Parlimen. 

 

“Berdasarkan pemerhatian kami dalam sembilan PRU yang lalu, KLCI cenderung untuk memberikan purata pulangan yang lebih tinggi hingga 12 bulan selepas pilihan raya, berbanding 12 bulan sebelum PRU,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com