PTP beli lima kren dermaga bersaiz mega dari Shanghai Zhenhua Heavy Industries | DagangNews Skip to main content

PTP beli lima kren dermaga bersaiz mega dari Shanghai Zhenhua Heavy Industries

Pelabuhan Tanjung Pelepas ialah terminal kontena terbesar di Malaysia. -Gambar PT
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 April - Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) membeli lima kren dermaga bersaiz mega dari Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co. Ltd (ZPMC).

 

Perjanjian pembelian kren tesebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman dan Naib Presiden ZPMC, Celilia Shen dalam sebuah majlis yang telah diadakan di PTP baru-baru ini.

 

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkongsi keyakinan tinggi terhadap kerjasama bersama ZPMC atas reputasi kukuh syarikat tersebut serta kepakaran mereka dalam pembinaan jentera-jentera pelabuhan.

 

Beliau berkata, perolehan jentera tersebut merupakan satu langkah strategik yang penting dalam usaha mempertingkatkan keupayaan operasi terminal dan komitmen berterusan PTP dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan dan pihak berkepentingan.

 

ptp3
Mark Hardiman (dua dari kiri) bersama Shen bertukar dokumen perjanjian pembelian 5 kren dermaga bersaiz mega di PTP, Johor baru-baru ini.

 

“Pelaburan terkini PTP terhadap jentera-jentera baharu ini juga membuktikan dedikasi kami terhadap usaha mengendalikan peningkatan jumlah kargo kontena di terminal pelabuhan, sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan PTP dalam dinamik perdagangan serantau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Hardiman berkata, pembelian jentera tersebut merupakan sebahagian daripada strategi komprehensif pemodenan keupayaan terminal dan kapasiti jentera di PTP.

 

“Perolehan lima kren dermaga bersaiz mega ini turut melambangkan pengembangan kapasiti yang sealiran dengan usaha-usaha naik taraf jentera dan infrastruktur yang ketara di PTP. 

 

"Jentera berteknologi tinggi ini akan membantu PTP dalam meningkatkan kecekapan terminal dan aktiviti lain berkaitan pelabuhan, terutamanya dalam usaha menguruskan peningkatan jumlah kargo kontena dengan berkesan dan memudahkan perdagangan serantau yang pantas dan lancar sambil mengekalkan standard keselamatan tertinggi.

 

“Selain itu, perolehan terbaru ini juga sejajar dengan komitmen kami dalam usaha pemerkasaan agenda kelestarian PTP yang fokus dalam mematuhi garis panduan dan piawaian pematuhan yang telah ditetapkan dalam Perjanjian Paris, “ katanya.

 

Dalam kenyataan media bersama itu, Shen turut menyampaikan penghargaan ZPMC di atas kepercayaan PTP. 

 

Beliau mengesahkan bahawa pihak ZPMC komited dalam memastikan penghantaran jentera-jentera yang ditempah tepat pada masanya. 

 

"Menjadi matlamat syarikat ZPMC dalam memberikan perkhidmatan dan penyelesaian inovatif yang melibatkan jentera-jentera terminal pelabuhan," ujarnya.


ZPMC merupakan pengeluar jentera dan struktur  keluli besar yang terbesar di dunia.- DagangNews.com