KUALA LUMPUR 8 Sept - Public Investment Bank (PublicInvest) kekal berhati-hati dengan prospek jangka pendek Fiamma Holdings Berhad dengan menjangkakan permintaan domestik kekal lemah.
Firma penyelidikan itu berkata, sentimen pengguna juga dijangka lemah kesan daripada keadaan monetari yang lebih ketat dan tekanan inflasi yang meningkat.
Bagaimanapun, mereka masih positif terhadap prospek jangka panjang kumpulan disokong oleh pertumbuhan pendapatan kelas pertengahan dan isi rumah yang semakin meningkat dan seharusnya membawa kepada perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh.
"Bank tanah kumpulan itu untuk pembangunan hartanah juga menyediakan pendapatan yang positif dan potensi peningkatan penilaian," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Sinaran Urusjuta membayar RM109.6 juta sebagai premium tanah untuk tanah seluas 0.76 hektar di sepanjang Jalan Yap Kwan Seng.
PublicInvest berkata, berdasarkan anggaran awal, nilai pasaran tanah bagi Lot 154 dianggarkan RM183 juta berdasarkan RM3,000 sekaki persegi.
Tanah tersebut akan digunakan untuk pembangunan bercampur (20% kediaman dan 80% komersial).
"Bagaimanapun, kami tidak membuat pelarasan semula kepada unjuran pendapatan kami sementara menunggu panduan lanjut mengenai pembangunan tanah oleh pihak pengurusan.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com