KUALA LUMPUR 30 Ogos - Public Investment Bank (PublicInvest) menyemak turun unjuran pendapatan FY23 hingaa FY25 untuk Axiata Group Berhad kepada purata 16.7% selepas mengambil kira susut nilai dan kos kewangan yang lebih tinggi.
Untung bersih kumpulan itu susut 86.7% kepada RM44.1 juta berikutan bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada CelcomDigi, susut nilai dan kos kewangan yang lebih tinggi serta kerugian yang lebih tinggi untuk perniagaan digitalnya.
Firma penyelidikan itu berkata, ketiadaan sumbangan pendapatan yang ketara daripada Celcom sebagai anak syarikatnya, Axiata terus memberikan hasil yang mengecewakan.
"Pemerolehan baharu yang dibuat selepas pelupusan Celcom telah gagal menjana pendapatan yang mencukupi untuk mengimbangi kesan peningkatan kos operasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu mempunyai mengekalkan saranan 'under perform' untuk kumpulan itu memandangkan ketidaktentuan operasinya di pasaran baru muncul, dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah RM2.20 daripada RM2.40 sebelumnya.
PublicInvest Research berkata, pengembangan di Indonesia dan Filipina tidak berkemungkinan memberikan sumbangan pendapatan yang bermakna dalam tempoh terdekat berikutan pembiayaan yang besar diperlukan untuk pengambilalihan itu.
Katanya, kos pelaburan juga mungkin menimbulkan risiko kemerosotan nilai untuk syarikat.
"Pengembangan Axiata di Indonesia dan Filipina telah membolehkan kumpulan itu mempelbagaikan ke dalam pasaran baru muncul pertumbuhan tinggi.
"Bagaimanapun, kami percaya mereka tidak mungkin membuat sumbangan pendapatan yang bermakna dalam tempoh terdekat, disebabkan keperluan pembiayaan yang besar bagi pengambilalihan itu.
"Selain itu, kami melihat cabaran untuk Axiata untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dan bahagian pasarannya ketika ia menghadapi persaingan sengit daripada penyandang," katanya. - DagangNews.com