KUALA LUMPUR 21 Ogos - Public Investment Bank (PublicInvest) menyemak turun unjuran tempahan kerja Kerjaya Prospek Group Berhad kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.5 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, sasaran itu bagaimanapun lebih tinggi berbanding sasaran yang disemak semula pihak pengurusan sebanyak RM1.2 bilion dan mereka percaya kumpulan itu masih boleh melepasi sasaran itu.
"Kemenangan kontrak terbaharunya sehingga kini berjumlah 70% daripada andaian penambahan kerja bagi FY23 kami sebanyak RM1.4 bilion.
"Bagaimanapun, kadar tempahan tertunggak kumpulan itu adalah sebanyak RM4.5 bilion yang memberikan kadar keterlihatan pendapatan selama dua hingga tiga tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sehingga kini, tender kumpulan itu bernilai kira-kira RM1 bilion, terdiri daripada dua projek daripada pihak berkaitan yang berminat, E&O, dengan nilai pembangunan kasar gabungan RM200 hingga RM400 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen pembinaan kumpulan itu mencatatkan peningkatan daripada suku tahun ke suku tahun sebanyak 4% disebabkan pemulihan tenaga kerja yang membawa kepada pengebilan kemajuan yang lebih tinggi daripada projek yang sedang dijalankannya.
Segmen hartanah bagaimanapun tidak memberikan sebarang sumbangan pada suku kedua tahun ini kerana tiada sebarang projek baharu dilancarkan.
"Kami menjangkakan The Vue @ Monterez dilancarkan secara rasmi pada separuh kedua tahun ini," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.55 sesaham. - DagangNews.com