KUALA LUMPUR 2 Julai – Gamuda Bhd mengumumkan Kerajaan Pulau Pinang telah mengesahkan pelantikan syarikat gergasi itu sebagai rakan penyampai projek (PDP) bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
Untuk itu, Gamuda akan dibayar fi antata 5% hingga 5.75% berdasarkan kos projek. Laporan sebelum ini meletakkan anggaran kos PTMP ialah RM46 bilion.
Di dalam laporan kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, subsidiari yang 60% dikuasainya, SRS Consortium Sdn Bhd telah memeterai perjanjian induk dengan kerajaan Pulau Pinang berkaitan pelantikannya sebagai PDP bagi projek prasarana tersebut.
Mengikut perjanjian itu, SRS akan menyiapkan komponen pengangkutan awam yang berlain, termasuk lebuh raya. Selain itu, ia juga akan menyediakan tapak tambakan baharu merangkumi Pulau A, B dan C bagi projek Tambakan Selatan Pulau Pinang.
Gamuda akan mengemukakan pelan pembiayaan yang merangkumi pinjaman RM1.3 bilion kepada kerajaan Pulau Pinang berkaitan penambakan Pulau A.
Menurut laporan itu lagi, selain PDP, Gamuda juga berperanan kepada pewujudan dan pembentukan Pulau A dibawah projek Tambakan Selatan Pulau Pinang.
Antara di bawah kendalian Gamuda adalah:
- Landasan keretapi transit 23.5km mengandungi 20 stesen, termasuk empat stesen pertukaran), satu depoh di projek tambakan Selatan Pulau Pinang dengan lima potensi tapak meletak kereta.
- Lebuh raya dua lorong dua hala 19.5km yang bermula di persimpangan Gurney dan tamat di persimpangan Lebuh raya Bayan Lepas dan Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu. Lebuh raya itu mengandungi enam persimpangan, termasuk pembinaan jejambat, terowong dan tambak jalan.
- Lebih raya tiga lorong yang menyambungkan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan akhirnya menyambungkan Pulau A dengan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang.
- Kerja-kerja am prasarana di Pulau A dan perancangan induk bagi projek Tambakan Selatan Pulau Pinang dan pemasaran pelabur, tender dan jualan tanah di Pulau A (MPIL).
“Kecuali komponen MPIL di mana PDP tidak akan dibayar fi, setiap komponen PTMP akan memiliki sasaran kos sendiri berasingan dan sasaran tarikh siap yang akan dibincang pada peringkat kemudian dan dipersetujui bersama,” kata Gamuda.
Daripada segi kesan kewangan daripada perjanjian induk itu, Gamuda berkata, PTMP tidak dijangka memberi sebarang kesan kepada perolehan bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Julai 2020, tetapi dijangka memberi sumbangan positif untuk perolehan masa hadapan.
Dua lagi pemegang saham SRS adalah Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd, yang masing-masingnya memiliki 20% kepentingan. – DagangNews.com