Pulau Pinang sekat pesakit dari Indonesia | DagangNews Skip to main content

Pulau Pinang sekat pesakit dari Indonesia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pulau Pinang tidak akan menerima pelancong luar negara yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan di negeri itu sehingga prosedur kesihatan dan keselamatan ditetapkan ketika penularan COVID-19.

Pengumuman itu dibuat setelah tiga rakyat Indonesia yang ingin mendapatkan rawatan kesihatan tiba di hospital swasta Pulau Pinang, di mana kerajaan negeri tidak dimaklumkan berhubung perkara berkenaan. 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, dua daripada mereka menghidap penyakit kanser dan seorang lagi memerlukan rawatan segera. Mereka tiba pada Jumaat lalu dengan menaiki penerbangan khas. 

"Kerajaan negeri juga tidak dimaklumkan oleh pihak berkenaan berhubung kedatangan tiga pesakit dari Indonesia ke hospital swasta di sini.

"Selepas siaran berita tersebut, saya telah mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang bahawa tiga pesakit itu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agensi-agensi berkaitan termasuk Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan Jabatan Imigresen," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, platform digital Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia), AirAsia.com memaklumkan bahawa pihaknya menerbangkan pesawat carter perubatan pertama ke Pulau Pinang dari Medan, Indonesia pada hari Jumaat dengan satu lagi dijadualkan dari Jakarta pada Isnin depan.

Pihak berkuasa memperketat pergerakan di beberapa tempat di negeri berkenaan pada hujung minggu lalu susulan jumlah jangkitan COVID-19 meningkat selepas tiga bulan tiada kes. 

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, pihak berkuasa Pulau Pinang memaklumkan bahawa kesemua mereka telah menjalani prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Dalam pada itu, pihak berkuasa negeri juga telah mengarahkan semua agensi berkaitan pelancongan kesihatan untuk menyediakan segala maklumat dan pemberitahuan. - DagangNews.com