Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Menyedari kepentingan analisis Data Raya dalam sektor awam ke arah penggubalan dasar yang lebih komprehensif dan tepat, kerajaan bakal menubuhkan sebuah Pusat Analitik Data Raya Negara.
Pusat itu bertujuan menyokong hasrat kerajaan dalam memastikan setiap perancangan dan pembuat keputusan berlandaskan analisis data selaras dengan inisiatif Kerajaan Digital.
Mengulas mengenainya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat pengukuhan sistem statistik negara akan memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara.
“Di samping itu, ia turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi dalam kalangan pegawai-pegawai di semua kementerian serta agensi,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Statistik Negara & Sedunia dan Persidangan Statistik Malaysia 2020 secara maya hari ini.
Tambah Mustapa, pusat itu ditubuhkan dengan kerjasama antara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta kementerian terlibat.
Pada 9 September lalu, jemaah Menteri telah bersetuju untuk memperkasakan sistem statistik negara termasuk meluluskan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) sebagai badan penasihat tertinggi yang berperanan memberi hala tuju sistem statistik negara dan penyelarasan maklumat.
Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat pertama majlis berkenaan.
Dalam masa sama, Kabinet turut bersetuju memberikan peranan yang lebih besar kepada DOSM sebagai agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik negara.
DOSM akan bertanggungjawab membantu, menyelaras dan mengawal penghasilan statistik kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Selaras dengan itu, Chief Data Officer (CDO) DOSM di bawah kementerian, jabatan dan agensi dikawal selia oleh DOSM bagi membangunkan mekanisme yang sistematik untuk koordinasi, capaian dan lima kerjasama terhadap perkongsian data.
“Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) akan dipinda selaras dengan pengukuhan yang bakal dilaksanakan itu.
“Fungsi dan peranan DOSM akan diperkasakan melalui pindaan akta tersebut untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya sebagai sebuah agensi statistik yang setanding dengan agensi statistik yang terbaik di seleuruh dunia,” tambah Mustapa. - DagangNews.com