Q2 KDNK menyusut 17.1%, terendah sejak 1998 | DagangNews Skip to main content

Q2 KDNK menyusut 17.1%, terendah sejak 1998

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 14 Ogos - Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) untuk Suku Tahun Kedua 2020 (ST2 2020) menyusut 17.1% berbanding 0.7% pada suku pertama 2020, kesan daripada wabak COVID-19.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi suku tahun kedua itu merupakan pertumbuhan KDNK terendah yang direkodkan sejak krisis ekonomi pada suku tahun keempat 1998 (-11.2%).

"Dari segi pengeluaran, pertumbuhan negatif direkodkan oleh semua sektor kecuali sektor pertanian. Sektor perkhidmatan dan pembuatan masing-masing merekodkan pertumbuhan negatif 16.2% dan 18.3%. Pembinaan menyusut 44.5% manakala perlombongan dan pengkuarian merosot 20.0%. 

"Dari segi permintaan, semua komponen permintaan akhir menyusut kecuali perbelanjaan pengguna akhir kerajaan yang mencatatkan pertumbuhan positif 2.3%. Perbalanjaan penggunaan akhir swasta pula merosot 18.5%, pembentukan modal tetap kasar menyusut 28.9% serta eksport dan import masing-masing jatuh 21.7% dan 19.7%," jelasnya dalam satu kenyataan berkaitan statistik KDNK, ST2 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Berdasarkan anggaran KDNK bulanan, kemerosotan ketara berlaku dalam semua sektor pada April 2020 hingga menyebabkan KDNK merosot 28.6%.

Namun, situasi tersebut berjaya dipulihkan pada Mei dengan pertumbuhan yang lebih baik -19.5% dan terus mencatatkan penguncupan lebih rendah pada Jun kepada -3.2%.

Penguncupan yang lebih perlahan pada Jun berlaku pada semua sektor terutamanya sektor pembuatan dan pertanian dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan perlahan (pembinaan -12.7%, perlombongan dan pengkuarian -16.4% dan perkhidmatan -6.0%).

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Dalam pada itu, prestasi eksport negara mula pulih pada Jun 2020 dengan peningkatan positif 8.8% kepada RM82.9 bilion yang mencapai lebihan dagangan terbesar sebanyak RM20.9 bilion.

Mengulas lanjut mengenai prestasi KDNK suku kedua 2020 itu, beliau menjelaskan bahawa penyusunan KDNK dibuat dengan terperinci melibatkan industri spesifik mengikut Piawaian Klasifkasi Industri Malaysia (MSIC).

"Sebanyak 735 industri merekodkan pertumbuhan negatif (ST12020:381 industri) dengan sumbangan nilai ditambah sebanyak 68.5% kepada RM176.1 bilion. Nilai yang ditambah itu menyusut 27.4% berbanding suku kedua 2019 yang hanya 260 industri mencatatkan pertumbuhan positif (ST12020:617 industri) dengan sumbangan nilai ditambah sebanyak 31.4% kepada RM110.2 bilion.

"Selain sektor pelancongan, indikator lain seperti jumlah jualan dan pendaftaran kenderaan juga merosot pada April dan Mei 2020 yang memberi kesan kepada prestasi segmen kenderaan bermotor pada suku kedua 2020. Namun pemulihan dilihat melalui pengecualian cukai jualan 50% yang diperkenalkan kerajaan," jelasnya lagi.

Tegas beliau, suku tahun kedua 2020 merupakan tempoh yang amat mencabar kepada ekonomi negara dalam membendung penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada aktiviti ekonomi Malaysia.

"Darjah keterbukaan ekonomi Malaysia ialah 123.0% iaitu antara yang tertinggi di dunia. Ia dijelaskan dengan peratusan jumlah dagangan barangan dan perkhidmatan kepada KDNK," jelasnya.

Mengulas situasi pasaran buruh, beliau memberitahu, penggunaan tenaga buruh adalah salah satu faktor pengeluaran dalam ekonomi yang masih belum mencapai tahap optimum berikutan operasi perniagaan secara berperingkat ekoran PKP.

"Jumlah bilangan penduduk bekerja pada suku kedua 2020 mencatatkan penurunan sebanyak 1.3% kepada 14.88 juta orang berbanding suku tahun yang sama sebelum ini," ujarnya. - DagangNews.com