Radium, Cape EMS antara 10 IPO teratas di Asia Tenggara - Laporan pertengahan tahun Deloitte | DagangNews Skip to main content

Radium, Cape EMS antara 10 IPO teratas di Asia Tenggara - Laporan pertengahan tahun Deloitte

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Tawaran awam permulaan (IPO) Radium Development Bhd dan Cape EMS Bhd sebagai dua syarikat Malaysia yang tergolong dalam 10 IPO teratas di Asia Tenggara memperoleh jumlah hasil gabungan RM667.73 juta, menurut Laporan IPO Pertengahan Tahun SEA Deloitte.

 

IPO terbesar di rantau ini adalah PT Trimegah Bangun Persada Tbk yang terlibat di dalam industri tenaga dan sumber Indonesia, yang meraih AS$683 juta dan permodalan pasaran sebanyak AS$5.39 bilion.

 

Ketua Penasihat  Disruptive Events Deloitte Malaysia, Wong Kar Choon berkata, Bursa Malaysia Securities melepasi segala bentuk halangan dan berdiri kukuh dengan 16 penyenaraian pada separuh pertama 2023, mengumpul RM1.6 bilion dengan permodalan pasaran RM9.4 bilion.


 

deloitte_dagangnews2023

 

"Semua titik data ini telah menunjukkan keyakinan berterusan dalam pasaran modal Malaysia, dengan rekod prestasi perniagaan yang terbukti.

 

"Kebanyakan daripada 16 IPO mempunyai kadar terlebih langganan yang tinggi disebabkan sokongan daripada institusi dan pelabur runcit," kata Wong.

 

Indonesia mengetuai senario IPO di rantau ini dengan hasil terbaik setakat ini, dengan mengumpul AS$2.3 bilion daripada sejumlah 44 IPO.

 

Ini diikuti oleh Thailand pada AS$528 juta, Malaysia pada AS$363 juta, Filipina pada AS$66 juta, dan Singapura pada AS$33 juta.


 

dagangnews2023

 


Pasaran modal IPO Asia Tenggara mencapai 85 IPO pada separuh pertama 2023, dengan hasil IPO berjumlah AS$3.3 bilion dan permodalan pasaran IPO sebanyak AS$20.1 bilion berbanding separuh pertama 2022 dengan 73 IPO, AS$3.1 bilion dalam IPO hasil dan permodalan pasaran IPO sebanyak AS$35.4 bilion.

 

Berbanding dengan separuh pertama 2022, terdapat peningkatan sebanyak 16% dalam bilangan IPO baharu di rantau ini dan peningkatan 5% dalam jumlah IPO yang diperoleh.

 

Wong berkata separuh pertama 2023 dibuka dengan modal yang kukuh dan pasaran IPO di Asia Tenggara, mengekalkan harga pasaran modal yang kompetitif walaupun terdapat senarai ancaman yang panjang dan ramalan kelembapan mendadak yang dijangka berlaku kepada ekonomi dunia. - DagangNews.com