Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap ketika penularan COVID-19 memaksa rakyat di negara ini memilih untuk bekerja sendiri.
Walaupun kadar pengangguran pada September 2020 menunjukkan penurunan kepada 4.6%, iaitu terendah sepanjang tempoh lima bulan sejak Mei, namun tekanan untuk mewujudkan pekerjaan masih tinggi, kata AmBank Research.
Jelas AmBank, sedikit sahaja pekerjaan yang diwujudkan pada bulan berkenaan, iaitu sebanyak 39,600 berbanding 80,100 pada Ogos 2020.
“Kekurangan itu mungkin diserap oleh mereka yang berada di bawah kategori pekerja akaun sendiri,” kata AmBank dalam nota kajiannya hari ini.
“Segmen berkenaan menunjukkan peningkatan berterusan kepada 2.43 juta daripada 2.42 juta pada September 2020,” tambah AmBank.
Ini bermaksud, disebabkan ramai individu berdepan kesukaran tinggi untuk mendapatkan pekerjaan, mereka memilih untuk bekerja sendiri bagi menyara kehidupan.
Dalam pada itu, walaupun suku ketiga tahun 2020 (3Q20) sepatutnya menyaksikan ekonomi negara bertambah baik, namun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ini dijangka menunjukkan penguncupan lebih perlahan antara -2% hingga -3%.
Disebabkan itu, AmBank menjangkakan tekanan akan timbul pada 4Q20 ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan susulan peningkatan semula kes COVID-19.
“Ini dijangka menambah tekanan untuk mewujudkan pekerjaan,” jelas AmBank.
Berdasarkan statistik rasmi, kadar pengangguran mungkin berlegar sekitar 4.7% hingga 4.9% pada tahun ini.
Insentif pasaran buruh dalam Belanjawan 2021
Sebagai langkah menangani kadar pengangguran yang tinggi, beberapa insentif diberikan peruntukan oleh pihak kerajaan di bawah Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lalu.
Ini termasuk Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dilanjutkan tiga bulan lagi yang dijangka memberi manfaat kepada 130,000 individu.
Dalam pada itu, Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) bakal menawarkan 500,000 peluang pekerjaan baharu termasuk pembangunan kemahiran dan program latihan semula selain insentif Penjana Kerja untuk manfaat 250,000 pencari kerja.
Selain itu, graduan pula berpeluang untuk menerima baucer sehingga RM3,000 di bawah program latihan dan kemahiran semula, di samping MySTEP pula menawarkan 50,000 peluang pekerjaan di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berasaskan kontrak. - DagangNews.com