Ramsay Sime Darby Health Care, Mayo Clinic Laboratories jalin kerjasama bagi menyediakan akses ujian khusus kepada pesakit | DagangNews Skip to main content

Ramsay Sime Darby Health Care, Mayo Clinic Laboratories jalin kerjasama bagi menyediakan akses ujian khusus kepada pesakit

Ramsay Sime Darby Health Care menjalinkan kerjasama dengan Mayo Clinic Laboratories - Foto/ Mayo Clinic Laboratories
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) menjalinkan kerjasama dengan Mayo Clinic Laboratories bagi memberikan akses kepada ujian khusus dalam menyediakan diagnosis penyakit selain pelan rawatan tepat kepada pelanggan mereka.

 

Sebagai hospital utama di bawah Ramsay Sime Darby, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dilantik sebagai hab rujukan berpusat bagi ujian makmal di semua hospital RSDH. 

 

Kerjasama ini bertujuan meningkatkan keupayaan diagnostik dalam penjagaan kesihatan Malaysia.

 

Menerusi perjanjian perkhidmatan makmal rujukan, SJMC akan menghantar ujian khusus terpilih untuk analisis, termasuk penilaian neurologi, hematologi dan onkologi ke Mayo Clinic Laboratories di Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat, sejajar dengan bidang tumpuan teras hospital RSDH dan melengkapkan Pusat Kecemerlangan mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH, Peter Hong berkata, dengan memanfaatkan kepakaran dan teknologi canggih Mayo Clinic Laboratories, SJMC berusaha untuk memastikan pelan rawatan yang tepat dan berkesan mungkin untuk pesakit yang memerlukan.

 

klinik

 

"Kami sangat teruja untuk mewujudkan perjanjian perkhidmatan makmal rujukan ini dengan Mayo Clinic Laboratories yang dibina atas matlamat bersama untuk memajukan pengetahuan dan kepakaran penjagaan kesihatan.

 

"Dengan memanfaatkan kepakaran mereka, kami dapat menyediakan pesakit kami akses kepada ujian khusus yang sebelum ini tidak tersedia di rantau kami. 

 

"Ini sudah pasti merupakan langkah penting ke hadapan dalam meningkatkan penjagaan dan hasil pesakit, mengukuhkan komitmen kami untuk menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SJMC Bryan Lin berkata, kerjasa dengan Makmal Mayo Clinic membuka kemungkinan baharu untuk diagnosis yang tepat, membolehkan doktor mereka menyediakan pilihan rawatan yang sesuai. 

 

"Sebagai hospital utama untuk Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), kami percaya bahawa perjanjian ini akan membantu mengukuhkan kepercayaan terhadap hasil klinikal kami," katanya. - DagangNews.com