KUALA LUMPUR 18 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan Ramssol Group Berhad terus mencatatkan pertumbuhan positif di pasaran Asia Tenggara terutama dalam segmen PeopleTech.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu didorong kejayaan kumpulan itu mendapatkan projek daripada beberapa pelanggan termasuk di Singapura, Thailand dan Indonesia pada separuh pertama 2023.
Projek-projek itu akan mendatangkan hasil positif kepada Ramssol bermula penghujung separuh kedua tahun ini dan seterusnya.
"Margin keuntungan kasar segmen PeopleTech seharusnya bertambah baik dengan sumbangan lebih tinggi daripada jualan bukan Oracle yang dilihat menghasilkan keuntungan lebih tinggi.
"Kami menjangkakan perbelanjaan pemasaran akan berkurangan daripada tahap FY21 dan FY22, memandangkan pelaksanaan penjenamaan semula dan penstrukturan semulanya menyumbang kepada pengembangan margin pada tahap untung sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Ramssol catat peningkatan hasil sebanyak RM16.58 juta bagi 6MFY23
Terdahulu, pada suku dalam tinjauan (2QFY23), kumpulan itu mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM10.13 juta berbanding RM6.47 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan pencapaian yang dinyatakan di atas untuk beberapa daripada projek baharunya yang dicapai membolehkan hasil diiktiraf.
Begitu juga bagi suku dalam tinjauan, kumpulan itu menggandakan PBT dan PATAMI kepada RM2.13 juta dan RM2.21 juta masing-masing daripada RM1.02 juta dan RM1.24 juta daripada suku yang sama.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun akan berdepan beberapa cabaran termasuk penyiapan projek yang lebih perlahan daripada jangkaan, pemerolehan projek baharu yang perlahan selain kelewatan penyiapan platform Rider Gate di dalam segmen AutoTech.
"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 38 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com