Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dijangka dibentang di Parlimen - Fahmi | DagangNews Skip to main content

Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dijangka dibentang di Parlimen - Fahmi

Fahmi Fadzil (dua dari kanan) berbual bersama Tengku Dato’ Seri Abu Bakar Ahmad Bin Almarhum Tengku Tan Sri Abdullah (dua dari kiri) dan Datuk Hanifah Noordin (kiri) pada majlis pelancaran Perkhidmatan Digital Siber, Pertahanan dan Keselamatan Asia (CyberDSA) 2023 di Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2023.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Rang Undang-undang Keselamatan Siber dijangka dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini atau awal tahun depan, kata Fahmi Fadzil.

 

Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata rang undang-undang itu kini sedang digubal oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Proses untuk membentangkan Rang Undang-undang sedang berjalan. NACSA dijangka menyampaikan apa yang dirangka.

 

“Kami akan membawa draf itu kepada Kabinet sebelum ia boleh didedahkan kepada umum,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Digital Siber, Pertahanan dan Keselamatan Asia (CyberDSA) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

 

Dalam perkara yang sama, Fahmi berkata kementerian sedang mengkaji keperluan untuk melantik pegawai perlindungan data untuk memantau organisasi bagi melindungi data individu.

 

Beliau berkata ini antara cadangan yang dibuat untuk pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

 

“Ini adalah antara cadangan yang kami sedang pertimbangkan mengenai isu berkaitan perlindungan data oleh organisasi.

 

“Terdapat keperluan untuk melindungi data pengguna tetapi ini semua tertakluk kepada maklum balas Kabinet dan pihak berkepentingan.

 

“Kementerian secara aktif bekerjasama dengan komuniti keselamatan siber untuk meneroka penyelesaian kriptografi kuantum-selamat dalam mengukuhkan daya tahan digital negara,” katanya.

 

Beliau berkata, pindaan PDPA 2010 dijangka diadakan pada Oktober tahun ini atau Mac tahun depan. 


 

irsyad

 


Menteri Komunikasi dan Digital juga berkesempatan bertemu pengurusan kanan Datasonic Group Berhad iaitu Pengerusi Eksekutif, Tengku Dato’ Seri Abu Bakar Ahmad Bin Almarhum Tengku Tan Sri Abdullah bersama Presiden/CEO Kumpulan, Datuk Abu Hanifah Noordin. - DagangNews.com