Rangkaian 5G ditangguh ke 2022? | DagangNews Skip to main content

Rangkaian 5G ditangguh ke 2022?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - CGS-CIMB Research menjangkakan sambungan rangkaian 5G di negara ditangguh sehingga tahun 2022 daripada 2021 bagi memberi 'laluan' kepada pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“JENDELA memberi gambaran bahawa pelaksanaan 5G di Malaysia mungkin ditangguh ke 2022 di mana situasi ini memberi kelebihan kepada syarikat telekomunikasi. 

“Seperti dinyatakan dalam laporan kami sebelum ini “5(G): great or grim?”, kami percaya tidak akan ada pengguna atau perusahaan 5G biasa (mainstream) dalam masa terdekat,” jelas analisis CGS-CIMB.

Pada 29 Ogos lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan JENDELA untuk menambahbaik komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

JENDELA bakal dilaksanakan secara berperingkat di mana antara sasaran pada fasa pertama ialah liputan 4G ditingkatkan daripada 91.8% kepada 96.9%, menambah baik kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta 3G dimansuhkan secara berperingkat pada penghujung 2021. 

Fasa kedua pula melibatkan peralihan ke 5G setelah fasa pertama dicapai.

Dalam pada itu, jangka masa dan bagaimana akses jalur lebar tetap (FBB) akan disediakan kepada 7.5 juta premis di negara ini masih belum ditentukan. 

“Ini adalah berikutan jalur lebar kelajuan tinggi Telekom Malaysia (TM) hanya meliputi 3.5 juta premis dengan maksimum kelajuan 800Mbps, ketika ini,” kata CGS-CIMB.

Peningkatan liputan 4G dan kelajuan yang lebih tinggi di bawah JENDELA bakal menyaksikan tambahan pelaburan, tetapi ia tidak akan membebankan pengendali telekomunikasi.

Ini adalah berikutan peralihan rangkaian 3G akan mengosongkan spektrum 900MHz untuk pelaksanaan 4G, manakala 700MHz lagi untuk kegunaan telekomunikasi pada masa akan datang.

“Syarikat telekomunikasi juga mungkin berkolaborasi untuk menambahbaik atau membangunkan pencawang baharu di kawasan luar bandar.

JENDELA juga bertujuan mempermudah dan mengurangkan birokrasi di peringkat persekutuan dan negeri yang dapat mengurangkan kos pelaksanaan dengan berkesan,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com