Ranhill Utilities komited selesaikan isu bekalan air di Rengit | DagangNews Skip to main content

Ranhill Utilities komited selesaikan isu bekalan air di Rengit

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Ranhill Utilities komited menjalankan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah bekalan air yang telah diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Johor (ADUN) Rengit, Datuk Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi.

 

“Masalah yang diutarakan oleh ADUN Rengit bukan sahaja dalam perhatian kami, malah langkah-langkah bagi penyelesaian secara tuntas sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Puad telah mengemukakan surat terbuka untuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill, Tan Sri Hamdan Mohamad di laman Facebooknya hari ini berkenaan beberapa isu bekalan air di Rengit.

 

“Sebagai wakil rakyat Rengit saya mahukan penyelesaian isu bekalan air secara menyeluruh untuk kawasan DUN Rengit. Bukan setakat Kampung Bumiputra Dalam sahaja.

 

“Mesti ada penyelesaian jangka pendek dan panjang. Jangan setiap kali musim perayaan masalah tekanan air rendah, air kecil, air tak ada dan air kuning sentiasa berulang,” kata beliau dalam hantaran tersebut.

 

 

fb

 

 

Ranhill menjelaskan bahawa anak syarikatnya, Ranhill SAJ sedang melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah bekalan air ketika musim perayaan di seluruh Johor termasuk Rengit.

 

Antara inisiatif yang dilakukan adalah mengedar air mengguna lori tangki swasta serta menyediakan lori tangki dan tangki statik.

 

Bagi jangka panjang pula, Ranhill SAJ telah merancang saluran paip dan tangki air Rengit dengan anggaran kos sebanyak RM44 juta.

 

“Ini membabitkan pemasangan paip dari Loji Rawatan Air (LRA) Parit Raja ke Parit Kadir, pemasangan paip dari Rengit ke tangki air baharu dan penambahan 4.5 juta liter di Tangki Kampung Tengah,” katanya sambil menambah projek itu telah berada di peringkat reka bentuk kejuruteraan terperinci (Detailed Engineering Design (DED)), buat masa ini.

 

Selain itu, Ranhill juga dalam proses melaksanakan pengedaran dan pengepam sebaris (distribution and inline pumping) di Rengit dengan anggaran kos sebanyak RM4juta.

 

Ini membabitkan pemasangan pam air baharu di Parit Kadir dan dua paip baharu di Jalan Rejo Sari yang telah pun siap sebanyak 97%.

 

“Kami berterima kasih kepada ADUN Rengit yang membangkitkan isu ini, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat agar lebih maklum mengenai usaha-usaha Ranhill SAJ meningkatkan kualiti perkhidmatan air negeri Johor,” katanya. -DagangNews.com