REDtone, MDEC perkenal Pertandingan Pertanian Pintar | DagangNews Skip to main content

REDtone, MDEC perkenal Pertandingan Pertanian Pintar

 

 

KUALA LUMPUR, 22 Okt. – Demi mendorong penggunaan teknologi pertanian pintar di negara ini, REDtone (REDtone) hari ini mengumumkan Pertandingan Digital Pemacu Pertanian Lestari yang akan berlangsung esok, 23 Oktober hingga 15 Disember ini.

Terbuka kepada semua pekebun kecil, pemenang pertandingan ini akan berpeluang memanfaatkan sistem aplikasi baja automatik yang membolehkan peningkatan hasil serta kualiti tanaman mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon, pertandingan anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Pertanian ini berhasrat memacu perkembangan sektor pertanian lestari dengan kemudahan teknologi.

“Kami berharap para petani kecil boleh mendapat pendedahan tentang kepentingan teknologi pertanian pintar bagi mengecapi kelestarian perladangan, menggalakkan perkembangan sektor pertanian dan memastikan keselamatan bekalan makanan di negara kita terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertanian Pintar REDtone yang diperkenalkan sejak 2018 menawarkan pelbagai kelebihan penyelesaian khas menerusi platform Internet of Things (IoT) bersepadu seperti kemudahan sistem pemantauan, pintu keluar masuk serta pengimbas.

Di Malaysia, lebih 90% tanaman diusahakan oleh petani kecil dengan ladang berukuran satu hingga lima ekar dan lebih 65% daripada mereka akan bersara dalam tempoh 15 tahun akan dating.

Sementara itu, Pengarah Keterangkuman digital MDEC, Nordarzy Razak Norhalim berkata, penyertaan daripada para petani amat digalakkan bagi membolehkan mereka meraih potensi lebih besar daripada ekosistem Agtech dan kepakaran pertanian pintar REDtone.

Keterangkuman digital dalam pertanian merupakan focus utama bagi program teknologi pertanian MDEC (Agtech) bagi mendorong golongan para petani memanfaatkan teknologi pertanian pintar demi meningkatkan hasil tanaman dan pendapatan mereka.

“Para petani boleh mempelajari kaedah baharu dengan memanfaatkan kepakaran pertanian pintar REDtone bagi mempertingkat tahap kecekapan dan produktiviti mereka,” kata Nordarzy.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut, sila layari https://www.redtone.com/smart-fertigation-contest-bm/. – DagangNews.com