Rex Industry catat rugi bersih RM38.8 juta pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Rex Industry catat rugi bersih RM38.8 juta pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Rex Industry Berhad mencatatkan kerugian bersih RM38.76 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23) berbanding untuk bersih RM58,000 pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu merekodkan penyusutan pendapatan sebanyak 8.2% kepada RM37.5 juta unutk suku berkenaan berbanding RM40.9 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Katanya, penyusutan hasil itu adalah disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah pada suku semasa dalam tinjauan.

 

"Kerugian yang dicatatkan adalah akibat penutupan kilang di Bukit Minyak selaras dengan pelan rasionalisasi perniagaan kumpulan.

 

"Ini ditambah pula dengan kos input yang lebih tinggi secara berterusan dan kesan daripada kelemahan ringgit," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23), kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM44.4 juta berbanding untung bersih RM2.02 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Kumpulan itu mencatatkan sedikit peningkatan hasil bagi FY24 iaitu RM162.7 juta berbanding RM161.11 juta pada FY22.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan enam bulan akan datang kekal mencabar akibat ketidaktentuan pasaran komoditi, kelemahan ringgit dan tekanan inflasi ke atas kos input yang memberi kesan kepada permintaan pengguna.

 

Katanya, menerusi pelaksanaan pelan rasionalisasi perniagaan, mereka menjangkakan untuk memperbaiki kedudukan kewangan pada masa hadapan.

 

"Kumpulan akan terus meneroka penyumberan luar produk tertentu kepada pihak ketiga dan terus melabur dalam jenama dan inovasi produk kami untuk memacu pertumbuhan yang mampan," katanya.- DagangNews.com