RHB Investment optimis terhadap prospek sektor pembinaan didorong kestabilan politik selepas berakhirnya PRN | DagangNews Skip to main content

RHB Investment optimis terhadap prospek sektor pembinaan didorong kestabilan politik selepas berakhirnya PRN

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Sept - RHB Investment kekal optimis terhadap prospek sektor pembinaan didorong oleh kestabilan politik selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

 

Firma penyelidkan itu berkata, Kerajaan Persekutuan boleh memberikan fokus kepada pelancaran projek infrastruktur yang bernilai besar selain melaksanakan reformasi institusi.

 

“Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan mana-mana projek infrastruktur membuat penampilan sulung pada paling awal pada suku keempat tahun ini.

 

“Pilihan utama kami ialah Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Kerjaya Prospek Group Berhad,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, nilai kerja pembinaan yang dilakukan pada suku kedua tahun ini mencecah RM32.4 bilion, meningkat 8.1% tahun ke tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tempoh yang sama, pengeluaran bagi sektor pembinaan berkembang 6.2% tahun ke tahun, menandakan pertumbuhan suku tahun kelima berturut-turut.

 

“Bekalan tenaga kerja yang mencukupi, digabungkan dengan tekanan kos bahan pembinaan yang semakin berkurangan, meletakkan kontraktor dalam kedudukan yang baik untuk bukan sahaja meningkatkan kemajuan projek, tetapi juga bersedia untuk menerima projek baharu yang boleh meningkatkan keterlihatan pendapatan.

 

“Kami mengekalkan Gamuda sebagai pilihan utama sektor, selain Kerjaya Prospek dan Sunway Construction,” katanya.

 

Katanya, mereka lebihmenyukai syarikat itu kerana keterlihatan pendapatan mereka yang membanggakan dalam tempoh tiga hingga enam tahun akan datang.

 

“Gamuda mempunyai kehadiran yang besar di luar negara yang berfungsi sebagai lindung nilai strategik kepada sebarang kelemahan domestik. 

 

"Kerjaya Prospek mempunyai susunan rangka kerja dengan Samsung C&T, yang akan membolehkannya mendapatkan projek yang lebih canggih (disokong oleh aliran tunai bersihnya).

 

“Kami juga mengutamakan Sunway Construction untuk buku tendernya yang pelbagai, yang menampilkan aliran kerja dalaman yang berterusan bersama-sama dengan kontrak infrastruktur industri, (termasuk) projek loji janakuasa Song Hau 2 di Vietnam dan buku pesanan sebanyak kira-kira RM6 bilion,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu. - DagangNews.com