RHB Investment positif terhadap prospek MAHB berdasarkan pemulihan kehadiran pelancong China, Turkiye | DagangNews Skip to main content

RHB Investment positif terhadap prospek MAHB berdasarkan pemulihan kehadiran pelancong China, Turkiye

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - RHB Investment positif terhadap prospek Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berdasarkan pemulihan ketara jumlah kehadiran pelancongan antarabangsa dari China dan Turkiye.

 

Firma itu berkata, Kertas Perundingan Ketiga Suruhanjaya Penerbangan Malaysia juga akan diterbitkan bulan ini dan ia dipercayai akan mengurangkan caj perkhidmatan penumpang yang diwartakan untuk Tempoh Kawal Selia 1 atau RP1 (2024-2026).

 

Mereka juga menjangkakan momentum trafik antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen kekal pada separuh kedua 2023, memandangkan musim akhir tahun yang kukuh dan pengenalan penerbangan serta laluan baharu.

 

"Kami mengunjurkan andaian trafik FY23 bagi mencerminkan potensi peningkatan operasi Turkiye kerana andaian sebelumnya (trafik antarabangsa) adalah agak konservatif.

 

"Kami juga menyemak semula pergerakan penumpang antarabangsa FY23 Malaysia kepada 92.5 juta daripada 99.9 juta untuk mencerminkan kadar pemulihan yang lebih perlahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment mengurangkan unjuran pendapatan FY23 untuk MAHB sebanyak 3%, tetapi menyemak semula unjuran pendapatannya sebanyak 9% untuk FY24 dan sebanyak 12% untuk FY25.

 

Katanya, ia selepas mengambil kira kesan bersih daripada pemulihan tertunda dari China dan pergerakan pelancongan antarabangsa yang lebih kukuh di Turkiye bergerak ke hadapan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM8.70 sesaham berbanding RM8.31 sebelum ini," katanya.- DagangNews.com