RHB Research unjur Texchem catat pertumbuhan lebih lemah bagi 4QFY22 | DagangNews Skip to main content

RHB Research unjur Texchem catat pertumbuhan lebih lemah bagi 4QFY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - RHB Research mengunjurkan Texchem Resources Berhad mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang lebih lemah bagi pada 4QFY22 selepas bahagian kejuruteraan polimer dan makanan terjejas akibat ekonomi makro.

 

Firma itu berkata, jumlah jualan 4QFY22 bagi unit kejuruteraan polimernya dijangka lemah kerana kemerosotan mendadak terhadap permintaan untuk pemacu cakera keras (HDD).

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, semakan industri baru-baru ini menunjukkan bahawa pengeluar HDD utama sedang berusaha untuk berkembang pada 1QFY23.

 

"Kami menjangkakan pendapatan kumpulan akan pulih selepas 1QFY23 disokong pemulihan permintaan terhadap HDD.

 

"Pemulihan itu juga akan disokong kehadiran pelanggan dan perniagaan baharu serta potensi pertumbuhan margin keuntungan daripada kos bahan yang lebih rendah disebabkan penurunan harga resin," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, bahagian makanan kumpulan itu juga terkesan akibat penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) selain permintaan yang semakin kurang akibat tekanan ekonomi makro di AS dan Eropah.

 

Katanya, kumpulan itu menyasarkan untuk mempelbagaikan jualan merentasi pelbagai segmen geografi, sambil terus memanfaatkan rangkaian pembekalnya yang luas selain pengurusan rantaian bekalan serta kos yang berkesan.

 

Firma itu berkata, segmen restoran akan menikmati keuntungan bersih yang lebih berdaya tahan disokong permintaan pasaran besar-besaran yang stabil, rancangan pengembangan strategiknya dan struktur kos yang lebih sihat.

 

Pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) restoran harus meningkatkan dari suku ke suku pada 4QFY22 yang kukuh walaupun margin dihimpit oleh kos bahan dan kakitangan yang lebih tinggi.

 

"Kami menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY22 hingga FY24 sebanyak 16.3%, 19.5% dan 17.1% selepas mengandaikan jumlah jualan yang lebih rendah untuk perniagaan kejuruteraan polimer dan makanan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.67 sesaham. - DagangNews.com