Rinani Group peroleh pegangan majoriti dalam KL City FC | DagangNews Skip to main content

Rinani Group peroleh pegangan majoriti dalam KL City FC

(Barisan hadapan, dari kiri) Khalid Abdul Samad, Azman Abidin dan Azri Azerai pada majlis menandatangani perjanjian penjualan saham antara Rinani dan KLFA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Turut kelihatan Pengarah Urusan KLCFC, Stanley Bernard (belakang, empat kiri) dan Datuk Seri Noor Azerai Ahmad (belakang, lima kiri).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac - Sebuah firma perunding kewangan, Rinani Group Bhd mengumumkan syarikat menandatangani perjanjian penjualan saham dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk memperoleh pegangan majoriti dalam Kuala Lumpur City FC Sdn Bhd (KLFC), pemilik kelab bola sepak KL City FC (KLCFC).

 

Pengarah Rinani, Azri Azerai berkata, melalui perjanjian penjualan saham itu secara rasmi menjadikan Rinani sebagai pemilik majoriti KLFC. 

 

Katanya, pihaknya berazam meningkatkan prestasi KLCFC di atas padang ke tahap lebih tinggi dengan menumpukan perhatian kepada kejurulatihan, pengambilan pemain dan pembangunan remaja serta menjanjikan penglibatan peminat dan pengalaman lebih baik untuk nilai wang mereka.  

 

"Selain permainan, kami juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan aliran pendapatan untuk KLFC agar ia dapat mampan dan terus mengekalkan kelab itu.

 

"Kami akan berusaha ke arah mengadakan lebih banyak kerjasama korporat dan penajaan untuk kelab itu dari segi kewangan serta memastikan tahap latihan yang boleh membawa kelab ke peringkat antarabangsa.  

 

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan beliau terhadap usaha kami dan untuk menggalakkan pertumbuhan bola sepak Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad pula berkata, ini adalah hari bersejarah bagi KLCFC dengan pemilikan majoriti KLFC beralih kepada Rinani.  

 

 

klcity

 

 

Katanya, penswastaan kelab adalah demi kepentingan semua pihak yang terlibat dalam sukan bolasepak profesional, termasuk pemain, penyokong, penaja dan vendor yang berkait rapat dengan kelab selama ini. 

 

"Kami mendoakan agar tindakan ini akan mendatangkan kejayaan kepada bukan sahaja KLCFC dan Rinani Group tetapi juga KLFA itu sendiri," katanya.

 

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, penswastaan pasukan bola sepak yang dikendalikan kerajaan adalah penting untuk perkembangan selanjutnya permainan kerana ini akan memastikan kelab mempunyai akses kepada kepakaran dan pengetahuan yang boleh disediakan sektor swasta.  

 

Katanya, ia juga penting bagi sektor swasta mengendalikan kelab bola sepak secara profesional dengan tadbir urus yang baik kerana ini akan membantu dalam memastikan daya maju kewangan untuk pembangunan belia dan pengambilan pemain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia, Stuart Ramalingam berkata, penswastaan berterusan kelab bola sepak di negara ini akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, terutamanya pemain kerana kebajikan mereka akan dijaga dengan lebih baik.  

 

"Akan ada lebih ketelusan dalam cara kelab dikendalikan dan kewangan diurus.  Pengurusan profesional kelab adalah penting kerana ini bermakna keperluan untuk melibatkan diri dengan penyokong, meningkatkan prestasi dan menawarkan produk yang lebih baik," katanya.

 

Pemerolehan kepentingan majoriti oleh Rinani di dalam KLFC juga adalah selaras dengan arahan daripada FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia, supaya pasukan bola sepak kendalian kerajaan dikendalikan secara profesional, dibiayai secara persendirian dan dimiliki secara bebas. - DagangNews.com