Ringgit merosot, kenaikan KLCI juga terbatas | DagangNews Skip to main content

Ringgit merosot, kenaikan KLCI juga terbatas

 

 

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Pasaran tempatan petang ini mengakhiri dagangan dengan menokok 1.91 mata untuk ditutup kepada 1,584.90 mata. 

 

Indeks utama FBM KLCI bergerak dalam jajaran antara 1,576.33 hingga 1,586.55 mata dengan 8.04 bilion saham diniagakan bernilai RM4.18 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 626 berbanding 489 manakala 465 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup pada RM4.0550/0580 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.0490/0530.

 

Harga minyak yang melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun tidak mampu memberi sokongan kepada ringgit. Peningkatan disebabkan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersetuju untuk terus mengurangkan simpanan global.

 

Niaga hadapan di New York melonjak 1.7% kepada hampir AS$56 satu tong pada Rabu.

 

Menurut Reuters, pasaran saham Asia merosot hari ini, berikutan keadaan kecairan yang ketat di China membataskan pembelian buat seketika, meskipun hasil korporat meningkat, dengan menjangkakan pakej rangsangan AS lebih besar dan sentimen risiko meredakan kegilaan terhadap pembelian runcit.

 

Harga bon AS juga meneruskan penurunan dengan hasil 30 tahun mencecah paras tertinggi sejak Mac lalu, berikutan data ekonomi yang kukuh dan desakan di Washington untuk meluluskan pelan bantuan secara besar-besaran. 

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dalam nota kajian berkata, lanjutan PKP 2.0 sehingga 18 Februari menyaksikan KLCI diniagakan dalam trend sebaliknya. 

 

"Aktiviti tawar-menawar dalam stok pemulihan boleh dilihat antara sektor perbankan, minyak dan gas (O&G), telekomunikasi, automatif dan teknologi. 

 

"Bagaimanapun, indeks KLCI mungkin berdepan sedikit rintangan menghampiri paras 1,600 hingga 1,618 mata di tengah-tengah peningkatan jangkitan COVID-19 dan musim laporan kewangan bulan ini," katanya. 

 

Sementara itu, Affin Hwang Capital menjangkakan ekonomi Malaysia hanya akan berkembang sekitar 5% bagi tahun ini selepas mengambil kira pelaksanaan PKP 2.0 yang kini dilanjutkan hingga 18 Februari 2021. 

 

Ini berbeza dengan julat unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibuat kerajaan, iaitu antara 6.5% hingga 7.5%.

 

Ketua Ekonominya, Alan Tan dalam taklimat media secara maya berkata, dengan andaian PKP 2.0 akan dilanjutkan melebihi 18 Februari, terdapat jangkaan bahawa langkah itu akan mengheret ekonomi. - DagangNews.com.