Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia naik kepada AS$109.7 bilion pada 30 November 2022 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia naik kepada AS$109.7 bilion pada 30 November 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) naik kepada AS$109.7 bilion (RM482.68 bilion) pada 30 November 2022, berbanding AS$107.5 bilion (RM473 bilion) pada 15 November 2022.

 

BNM dalam satu kenyataan berkata, paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.3 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

 

Katanya, komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing sebanyak AS$98.2 bilion (RM432.08 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa berjumlah AS$1.3 bilion (RM5.72 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) sebanyak AS$5.5 bilion (RM24.20 bilion), emas sebanyak AS$2.1 bilion (RM9.24 bilion) dan aset-aset lain berjumlah AS$2.6 bilion (RM11.44 bilion).

 

Aset berkenaan terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM509.01 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.36 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.66 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM56.98 bilion).

 

Menurut bank pusat, modal dan liabiliti pula terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM162.81 bilion), mata wang dalam edaran (RM158.56 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM196.70 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM12.49 bilion), deposit lain (RM34.83 bilion), kertas Bank Negara (RM7.50 bilion), peruntukan SDR (RM28.70 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.46 bilion). - DagangNews.com