Rizab antarabangsa BNM naik kepada AS$107.6 bilion | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM naik kepada AS$107.6 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menokok AS$1.9 bilion kepada AS$107.6 bilion setakat 31 Disember 2020. 

 

Nilai itu meningkat daripada AS$105.7 bilion yang dicatatkan setakat 15 Disember 2020 lalu.

 

Paras rizab ini telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing. 

 

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” kata BNM dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Berdasarkan jadual aset dan liabiliti yang disertakan bersama-sama kenyataan itu, antara kesemua lima komponen rizab antarabangsa, rizab mata wang asing mencatatkan angka tertinggi. 

 

Komponen itu meningkat kepada AS$99.7 bilion setakat tempoh sama daripada AS$96.7 bilion setakat 15 Disember 2020. 

 

Ini diikuti oleh lain-lain aset rizab (AS$2.9 bilion), emas (AS$2.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion) dan hak pengeluaran khas (AS$1.2 bilion). - DagangNews.com