KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah melantik Rizal Nainy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia baharu.
Pelantikan itu berkuatkuasa 21 Julai lalu, menggantikan Noor Azmi Mat Said.
MEDAC menerusi kenyataannya hari ini memberitahu, Rizal adalah lulusan bidang kejuruteraan mekanikal dari Imperial College, University of London.
Selain itu, beliau juga memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Charles Sturt University, Australia.
“Rizal telah menyertai SME Corp. sejak 1 Jun, 2016. Beliau sebelum ini merupakan ketua pegawai pelaksanaan dan pemantauan di SME Corp yang bertanggungjawab untuk merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan program-program pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.
“Rizal berpengalaman selama enam tahun dalam bidang transformasi strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merangka strategi dan memacu program transformasi ekonomi.
“Menerusi pengalaman luas lebih 20 tahun di kedua-dua sektor awam dan korporat, Rizal akan menerajui dan memperkukuh lagi operasi dan perkhidmatan SME Corp dalam memaju dan membangunkan PKS di Malaysia,” kata MEDAC.
Rizal telah ditugaskan bagi projek berprofil tinggi seperti bidang ekonomi utama elektrik dan elektronik.
Ini terutamanya melibatkan LED, Semikonduktor, Solar dan Elektronik Industri), inovasi, nanoteknologi, kenderaan elektrik, rel dan grid pintar. - DagangNews.com