RM11.64 bilion kontrak diagihkan untuk Sarawak sejak 2014 - Petronas | DagangNews Skip to main content

RM11.64 bilion kontrak diagihkan untuk Sarawak sejak 2014 - Petronas

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah mengagihkan nilai kontrak sebanyak RM11.64 bilion kepada Sarawak sejak 2014. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kontrak itu diberikan  kepada syarikat-syarikat di negeri tersebut yang terlibat dalam sektor tenaga. 

 

Katanya, 10 syarikat utama terbesar di Sarawak dari segi nilai kerja termasuklah Dayang Entreprise Sdn. Bhd, Petra Resources Sdn. Bhd, Serba Dinamik Sdn. Bhd.,MK Bumimas Resources Sdn. Bhd. dan Maysville Sdn. Bhd.

 

Selain itu, Amalgamated Plant Engineering Sdn. Bhd, Oceancare Corporation Sdn. Bhd, Rahabco Engineering and Construction, Kejuruteraan Gemilang Jaya Sdn. Bhd., dan EP Engineering Sdn Bhd. 

 

"Setakat ini, sebanyak 574 syarikat di Sarawak merupakan vendor minyak dan gas berlesen dan berdaftar dengan Petronas. 

 

"Hubungan antara kami (Petronas) dan Sarawak telah memberi pulangan yang signifikan memandangkan kami berkongsi aspirasi yang sama dalam sektor minyak dan gas," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani Perjanjian Penyelesaian Komersial antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz turut menyaksikan majlis tersebut. 

 

Perjanjian itu dicapai setelah persetujuan antara kedua-dua pihak mengenai pelaksanaan cukai jualan negeri terhadap produk petroleum dan juga hal-hal berkaitan minyak dan gas. 

 

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua Petronas dan kerajaan negeri bersetuju menubuhkan kerangka rundingan yang lebih berstruktur dan formal menerusi Jawatankuasa Koordinasi Bersama  (JCC) dan Dialog Strategik Tahunan. 

 

Platform ini akan dipengerusikan secara bersama antara Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Lembaga Pengarah Petronas, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh. 

 

Menurut Tengku Muhammad Taufik, kerjasama itu mencerminkan komitmen Petronas untuk menyokong kerajaan negeri Sarawak dalam merealisasikan impian untuk muncul sebagai pemain aktif dalam industri minyak dan gas menerusi Petros.  

 

"Ini termasuklah dari segi pembangunan Pelan Induk Sarawak Gas dan juga menggalakkan lebih banyak penyertaan vendor-vendor dari Sarawak dari semasa ke semasa," katanya. 

 

Menerusi langkah ini juga katanya, Petronas berharap, pemberian lesen dapat dipercepatkan dan pemprosesan hal-hal lain berkaitan tanah dan imigresen serta perkara di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dipermudahkan bagi memastikan industri minyak dan gas terus berkembang. 

 

Sementara itu, dalam kenyataan bersama antara kerajaan negeri Sarawak dan Petronas, perjanjian itu antara lain akan memberi Sarawak bahagian hasil yang lebih baik daripada minyak dan gas yang ditemui dan dikeluarkan pihak kerajaan negeri. 

 

"Malah, ia juga akan menyediakan lebih banyak penglibatan aktif kerajaan negeri dalam industri minyak dan gas menerusi pengurusan sumber minyak dan gas serta pelaburan oleh Petros dalam penerokaan huluan di kawasan luar pesisir. - DagangNews.com