RM2 bilion bagi Fasiliti Peralihan Tenaga Negara, kata PM Anwar | DagangNews Skip to main content

RM2 bilion bagi Fasiliti Peralihan Tenaga Negara, kata PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Persidangan Peralihan Tenaga 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2023.

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana awal bagi Fasiliti Peralihan Tenaga Negara untuk membolehkan pemangkin kewangan secara teradun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kemudahan itu akan membolehkan gabungan kewangan sebagai pemangkin untuk memastikan kelancaran sumber kewangan bagi projek peralihan tenaga yang menghadapi kekangan pinjaman atau potensi pulangan di bawah pasaran.

 

Contohnya, jelas beliau adalah pelaburan dalam rantaian nilai kenderaan elektrik (EV), hidrogen dan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

 

“Memandangkan pembiayaan adalah cabaran utama dalam peralihan tenaga, dianggarkan sekurang-kurangnya RM1.2 trilion pelaburan diperlukan antara 2023 dan 2050 bagi membolehkan pelaksanaan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.

 

“Dalam dekad ini sahaja, kerajaan memerlukan antara RM60 bilion dan RM90 bilion untuk diperuntukkan bagi projek penting, antara lain pengembangan pengangkutan awam, pengukuhan infrastruktur grid, dan latihan semula modal insan.

 

“Berikutan keadaan semasa Malaysia dalam teknologi penyahkarbonan yang belum matang, kemajuan kita akan bergantung kepada sumber tenaga alternatif dan kemantapan kerjasama serantau dan antarabangsa,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Peralihan Tenaga Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2023 hari ini.

 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Majlis Tenaga Negara akan diaktifkan untuk memastikan pembangunan dasar dan perancangan tenaga holistik sambil memantau kemajuan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) NETR.

 

Perdana Menteri berkata, NETR akan memberikan kejelasan dasar dalam membentuk Malaysia sebagai peneraju peralihan tenaga dalam kalangan ekonomi Asia.

 

Katanya, dengan pelaksanaan inisiatif di bawah NETR, Malaysia bersedia di barisan hadapan untuk menjadi peneraju serantau dalam peralihan tenaga dan industri tenaga boleh baharu (RE).

 

“NETR telah mengenal pasti enam bidang peralihan tenaga, bersama-sama dengan 10 projek perdana dan 50 inisiatif. Jaguh bagi projek dan inisiatif ini adalah dalam kalangan sektor awam, GLC dan pemain industri yang menterjemahkan pendekatan seluruh Malaysia.

 

“Kerajaan akan melancarkan program pengubahsuaian untuk meningkatkan kecekapan tenaga di bangunan kerajaan. Dalam hal ini, Platform ESCO (syarikat perkhidmatan tenaga) akan ditubuhkan untuk menghubungkan ESCO swasta, yang kebanyakannya PKS, dengan projek kerajaan.

 

“Peranan utama platform ini adalah untuk berfungsi sebagai perantara yang menggabungkan projek pengubahsuaian bangunan kerajaan dan menggalakkan penyelarasan awam-swasta dalam pasaran ESCO,” katanya.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai 70 peratus kapasiti terpasang TBB menjelang 2050 dan menarik balik larangan perdagangan rentas sempadan tenaga berkenaan.

 

Jelas beliau, bursa tenaga boleh baharu akan ditubuhkan dan dilancarkan pada 2024 untuk bertindak sebagai agregator pasaran yang akan membolehkan penemuan harga dan mengewangkan kuasa berlebihan. - DagangNews.com